KLANG – Gara-gara pandemik Covid-19, seorang bekas juara snuker remaja kebangsaan terpaksa menumpang ihsan tinggal di sebuah rumah individu yang bersimpati nasibnya.
Mohd. Nazri Mustaffa, 35, atau digelar Kecik Kuantan tinggal di kediaman tersebut di Sungai Kapar Indah di sini bersama isteri dan dua anak perempuan berusia tiga dan lima tahun sejak sebulan lalu.
Menurut Mohd. Nazri, kesemuanya bermula apabila akademi snuker tidak beroperasi ketika pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Katanya, keadaan itu menyebabkan simpanan makin susut sehingga tidak mampu menyewa lagi sebuah kondominium di Shah Alam.
“Akademi itu di Seksyen 13 Shah Alam dibuka pada 2018 merupakan punca pendapatan saya dan apabila tidak boleh beroperasi begitu lama saya ibarat jatuh terduduk.
“Habis simpanan dan bersyukur ada individu yang bersimpati memberikan kebenaran menumpang di rumah miliknya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Kata Mohd. Nazri, dia sebelum ini aktif bermain snuker di Kuantan, Pahang sejak 2006 sebelum menjadi juara remaja kebangsaan pada 2007.
Selain aktif dengan Terbuka Malaysia pada tahun 2016, dia juga menyertai pelbagai kejohanan amatur dan antarabangsa.
“Memang sedih apabila berlaku sebegini, namun saya mahu bangkit semula dan berharap ada pihak membantu.
“Ketika ini, saya hanya melakukan apa saja kerja biasa yang saya mampu lakukan dengan pendapatan tidak menentu di kawasan sekitar Kapar,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi di talian 011 399 01659.