fbpx

JKN Kedah akui jururawat tersilap beri suntikan Sinovac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hantaran dimuat naik Nur Jannah yang mendakwa ibunya tersalah menerima suntikan vaksin di PPV Dewan Al Hana, Sik pada 5 Ogos lalu.

ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengakui berlaku kesilapan pemberian suntikan
vaksin dos kedua jenis Sinovac kepada seorang wanita berusia 58 tahun di Pusat Pemberian Vaksin
(PPV) Dewan Al Hana di Sik dekat sini pada 5 Ogos lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo berkata, penerima vaksin terbabit hadir ke PPV untuk
menerima suntikan vaksin dos kedua jenis Pfizer, sebaliknya jururawat kesihatan memberi suntikan
vaksin jenis Sinovac.

“Siasatan JKN mendapati kesilapan berlaku disebabkan jururawat tidak memeriksa kad suntikan vaksin
sebelum membuat suntikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, jururawat terbabit telah mengakui kesilapan dan memohon maaf secara peribadi kepada penerima vaksin berkenaan.

“Beliau juga telah diberi teguran dan kaunseling serta direhatkan daripada tugasan pada hari
tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, penerima vaksin kemudian telah dirujuk kepada pegawai perubatan untuk kaunseling dan
kesan sampingan vaksin yang biasa berlaku telah dijelaskan.

“Penerima vaksin dan pasangan menerima baik penerangan serta memaafkan jururawat tersebut selain dinasihatkan untuk menghubungi pegawai perubatan atau ke klinik kesihatan berdekatan sekiranya berlaku kesan sampingan,” jelasnya.

Katanya, penggunaan percampuran jenis vaksin telah diamalkan kepada penerima yang mengalami alahan dengan vaksin jenis Pfizer di negara ini dan tidak timbul isu keselamatan apabila vaksin jenis
Sinovac diberi sebagai dos kedua kepada penerima vaksin yang mengalami alahan dengan vaksin Pfizer.

“Percampuran vaksin juga telah diamalkan di beberapa negara luar, walau bagaimanapun dasar sedia ada belum membenarkan percampuran vaksin di negara ini bagi penerima biasa,” katanya.

Tambahnya, JKN memohon maaf kepada keluarga penerima vaksin tersebut dan pihaknya akan memastikan kesilapan itu tidak berulang dengan menekankan aspek pematuhan garis panduan pengendalian proses vaksinasi oleh petugas PPV.

Kosmo! pada Sabtu lalu melaporkan seorang wanita mendakwa ibunya tersalah menerima vaksin Sinovac untuk dos kedua di PPV Dewan Al Hana di Sik. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI