PETALING JAYA – “Ketika jenazah isteri diturunkan (dalam liang lahad), saya pegang pinggang dia. Ketika itu saya dibantu dua lagi yang lain. Masya-Allah, dia (arwah Sarah) cukup ringan”.
Itulah yang dirasai suami kepada Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Shuib ketika menguruskan pengebumian arwah isterinya siang tadi.
Ujar Shuib, dia memanjatkan rasa syukur apabila urusan pengebumian Siti Sarah dipermudahkan Allah SWT selain dia turut mengalami beberapa kejadian tidak terduga.
Menerusi siaran langsung pada lewat petang semalam, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 37, berkongsi kisah ketika menurunkan jenazah isterinya ke liang lahad selain dia dibendung rasa bimbang selepas melihat saiz liang lahad yang kecil.
“Ketika sampai ke kubur, timbul kemusykilan dalam hati saya. Saya takut, kalau masuk jasad isteri saya takut tersangkut sebab saya tengok liang lahad tak besar. Nampak kecil sahaja.
“Allah SWT tunjukkan pada saya, dia turun ke liang lahad tanpa sangkut pun. Terus dapat masuk dengan mudah. Sekejap sahaja sudah selesai. Saya dapat rasai kebesaranNya,” cerita Shuib.
Malah Shuib turut sifatkan pemergian arwah isterinya itu adalah luar biasa memandangkan Siti Sarah tidak putus-putus dikirimkan doa oleh orang ramai sejak dimasukkan ke hospital minggu lalu.
“Pemergian dia luar biasa, orang ramai tunggu dia walaupun dalam situasi Covid-19. Orang sanggup tunggu luar pagar (ditanah perkuburan) sehinggakan pihak polis terpaksa mengingatkan tentang prosedur operasi standard (SOP).
“Selepas saya berlalu, kawasan perkuburan sana hujan. Alhamdulillah, Allah rahmati perjalanan dia,” dakwa Shuib.
Tidak meratapi pemergian Sarah, Shuib sebaliknya cemburu apabila isterinya dijemput Ilahi dengan cara yang mulia (syahid).
“Saya tidak meratapi pemergian dia. Saya cuba kuat tetapi apa yang pasti saya cemburu.
“Saya belum tahu pengakhiran saya walaupun saya bercita-cita untuk mati hari Jumaat dan mati syahid, tapi belum tentu saya dapat apa yang dia dapat.
“Ketika saya berjumpa dia, berdepan dengan dia sampai kali terakhir pagi tadi, saya hadap muka dia dan wajahnya bersih berseri-seri. Saya bisik padanya,’I jealous dengan you sayang, I belum tentu dapat sepertimana you dapat’,” kata Shuib yang turut mengenang kembali amalan mereka suami isteri mendengar surah al-Waqiah pada setiap pagi sebagai pembuka pintu rezeki. – K! ONLINE