fbpx

Izuan Fitri tunjuk perkembangan positif, sudah buka mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IZUAN yang menjalani pembedahan otak pada 5 Ogos lalu kini menunjukkan perkembangan positif apabila sudah membuka mata dan memberi respons apabila disentuh.

PETALING JAYA – “Adik sudah ada perkembangan positif.”

Itu perkhabaran gembira yang dikongsikan ibu pelakon Izuan Fitri yang sebelum ini tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan otak pada 5 Ogos lalu.

Nor Abdul Rani berkata, selepas empat hari, anak bongsunya itu sudah mula membuka mata dan memberi respons apabila disentuh namun masih memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Alhamdulillah, adik (Izuan) dah boleh membuka mata dan bergerak sendiri tapi masih mamai macam tak faham apabila doktor suruh angkat tangan.

“Dia masih menggunakan topeng oksigen. Baru ambil darah untuk tengok tahap oksigen. Kalau okey doktor akan kurangkan oksigen, hari ini.

“Ujian imbasan juga tunjukkan bahagian otaknya semakin baik berbanding ketika mua-mula dimasukkan ke hospital. Sebelum ini anak mata sebelah besar, tetapi sekarang sudah sama,” kongsinya menerusi Facebook.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan bintang One Two Jaga dan Munafik itu bertarung nyawa di Hospital Selayang setelah tidak sedarkan diri sejak 31 Julai lalu selepas diserang sawan berikutan penyakit batuk kering yang dihidapi.

Abang kembarnya, Izuan Fikri, 19, memaklumkan adiknya dikejarkan ke hospital selepas diserang sawan dan tidak sedarkan diri seperti orang tidur namun masih memberi reaksi jika disentuh.

Keadaan dialami pelakon itu disebabkan kuman tibi atau batuk kering yang dideritai sejak dua tahun lalu sudah merebak sehingga menyerang bahagian otaknya.

Izuan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan.

Ketika itu, abang pelakon berkenaan mendedahkan keputusan doktor sama ada meneruskan pembedahan yang berisiko tinggi atau sekadar meneruskan ubat bergantung kepada imbasan CT-Scan.

Sementara itu, ibunya turut memaklumkan bahawa doktor akan memaklumkan sebarang perkembangan terbaharu kepada keluarganya jika terdapat sebarang isu berbangkit.

Pada masa sama, Nor turut menzahirkan terima kasih atas doa orang ramai yang tidak putus memberikan kata semangat kepada mereka.

“Saya mama kepada Izuan mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan adik. Kami sangat terhutang budi pada anda semua. Semoga kebaikan berbalik kepada kalian.

“Mohon tetaplah berdoa kerana banyak lagi rintangan yang bakal ditempuhinya, bukan setakat ini sahaja,” katanya.

Buat masa ini kongsinya lagi, rawatan untuk Izuan masih diteruskan dengan ubat-ubatan yang sama iaitu ubat tibi, anti radang dan anti sawan.

Sepanjang pembabitan dalam arena lakonan, pelakon filem Butak yang berjinak-jinak dalam dunia lakonan sejak kanak-kanak itu dihormati dan dipuji pelakon lain berikutan bakat luar biasanya.

Sebelum ini dia pernah menjulang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin (ASK) TV3 pada 2015 dan Pelakon Kanak-Kanak TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2016. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI