PENDANG – Seorang lelaki diduga dengan ujian berat apabila kehilangan isteri selepas melahirkan anak pertama mereka pada Sabtu lalu akibat jangkitan Covid-19.
Menurut Mohd. Aiman Syakir, 26, isterinya, Allahyarham Izzati Najah Amran, 26, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang pada pukul 4 petang semalam.
Katanya, arwah menghembuskan nafas terakhir selepas dua hari melahirkan bayi perempuan yang dinanti-nantikan mereka.
“Kami ke hospital pada Khamis lalu kerana isteri sudah rasa sakit bersalin dan dia perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan masuk wad.
“Walau bagaimanapun isteri saya didapati positif Covid-19 dan doktor terpaksa mengeluarkan bayi dengan segera,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, isterinya selamat melahirkan bayi pada pukul 5 pagi, Sabtu lalu namun tidak dibenarkan untuk melihat anaknya yang diberi nama Lilly Elleyna sebelum kesihatannya merosot.
“Dia ditidurkan selepas oksigennya turun kepada 30 peratus sebelum disahkan meninggal dunia semalam,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929