PETALING JAYA – Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) melancarkan program kenderaan terpakainya, Hyundai Promise Approved Used Car Programme (Hyundai Promise) yang memberikan perkhidmatan lancar dan boleh diyakini dalam menukar dan membeli kenderaan terpakai Hyundai.
Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung berkata, kenderaan yang dijual menerusi Hyundai Promise hadir dengan alat ganti tulen, enjin original dan telah melalui pemeriksaan ketat bagi memastikan ia berada pada keadaan yang optimum.
Menurut beliau, semua model yang ditawarkan bebas daripada sebarang kemalangan teruk dan didatangkan dengan waranti antara dua hingga lima tahun, bergantung kepada usia dan jarak perbatuan yang telah dilalui.
“Hyundai Promise menawarkan pelanggan perkhidmatan jualan penuh iaitu daripada membeli model Hyundai baharu pertama mereka sehinggalah menukar kenderaan kepada model lebih baharu pada kadar menarik,” katanya dalam kenyataan.
Yuan Luang menjelaskan, Hyundai Promise adalah satu segmen perniagaan yang penting bagi melengkapi ekosistem perniagaan Hyundai sedia ada.
“Bersesuaian dengan nama program tersebut, kami menjanjikan kenderaan berkualiti dan pemilikan yang bebas daripada sebarang kebimbangan.
“Pelanggan yang membeli daripada Hyundai Promise akan menerima faedah seperti jaminan kualiti, penyelesaian kewangan dan lanjutan waranti,” ujar beliau.