KOTA TINGGI – Sebuah kapal tangki dari Korea Selatan ditahan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 15 batu nautika timur Tanjung Siang, Johor petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal berkenaan ditahan kira-kira pukul 5.15 petang ketika rondaan penguatkuasaan dilakukan di perairan tersebut.
Katanya pemeriksaan awal mendapati kapal tangki tersebut telah bersauh sejak Jumaat lalu ekoran menunggu arahan pergerakan daripada syarikat perkapalan.
“Bagaimanapun, nakhoda kapal telah didapati tidak memaklumkan ketibaan dan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia.
“Kapal tangki itu dikendalikan 18 kru terdiri dari warga Korea Selatan, Indonesia dan Myanmar berumur antara 19 tahun hingga 58 tahun, mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kapal telah ditahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nurul Hizam berkata, nakhoda bersama ketua jurutera kapal telah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.
Beliau juga menasihatkan kepada semua pemilik kapal agar mengikuti peraturan-peraturan yang telah ditetapkan sebelum tiba di perairan Malaysia bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap kapal-kapal mereka.
“Sebarang aduan kesalahan di laut atau kecemasan boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian (07 – 219 9404) atau talian kecemasan MERS 999,”katanya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929