fbpx

‘Arwah ayah pesan jaga silaturahim’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Intan Iewanina (dua dari kanan) mengesat air mata adik bongsunya yang berusia lima tahun ketika ditemui selepas kematian ibu bapa akibat Covid-19 di Pelabuhan Klang semalam. – ZULFADHLI ZAKI

KLANG – Lima beradik terpaksa menerima hakikat bergelar yatim piatu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 selang seminggu baru-baru ini.

Mereka ialah Intan Iewanina Mohd Suhaimi, 21, yang merupakan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Batrisyia Izzah, 19, yang menuntut di Kolej Komuniti Sik, Kedah; Uzair Wazini, 16; Ahmadi Nejad, 12, serta Nisa Ailani, 5.

Lima beradik itu kini dijaga oleh ibu saudara mereka di Flat Sri Perantau di sini.

Ibu mereka, arwah Ramlah Mukhtar, 43, meninggal dunia pada 31 Julai lalu disusuli bapa, Mohd. Suhaimi Zakaria, 55, pula pada Sabtu lalu.

Cerita Intan Iewanina, kehila­ngan tragis dua insan tercinta­ itu berlaku selepas ibunya menemani­ bapanya mendapatkan suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di sebuah klinik di Meru pada 17 Julai lalu.

Katanya, sebaik pulang dari klinik, mereka demam dan batuk.

“Esoknya, saya bersama dua adik dan nenek juga demam dan muntah teruk.

“Keadaan ini berlarutan selama empat hari. Ujian calitan mengesahkan kami positif Co­vid-19,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Usul Fiqh itu membe­ritahu, disebabkan jangkitan virus maut itu, ibunya dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah pada 22 Julai, manakala ayahnya pula dirawat di hospital sama empat hari kemudian.

Intan Iewanina dan dua adik serta nenek yang menjalani kua­rantin di rumah sempat membuat panggilan video terakhir kepada ibunya pada 26 Julai lalu.

“Kami juga sempat bercakap dengan ayah sebelum dia ditidurkan pada 5 Ogos lalu.

“Ayah minta maaf kepada semua dan berpesan supaya sentiasa menjaga si­laturrahim sesama­ adik-beradik. Memang sedih, namun kami reda dengan ujian Allah ini,” ujarnya.

Orang ramai yang mahu me­nyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Muamalat Intan Iewanina bernombor 14070014334724.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI