fbpx

99.3 peratus kes Covid-19 di Kedah kategori 1, 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mendapati sebanyak 99.3 peratus daripada 17,727 kes baharu positif Covid-19 yang dicatatkan sepanjang tempoh dua minggu bermula 25 Julai lalu hingga Sabtu lalu adalah melibatkan pesakit kategori satu dan dua.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo memberitahu, daripada jumlah itu, kes kategori satu iaitu tanpa gejala adalah sebanyak 55.71 peratus manakala kategori dua iaitu bergejala ringan pula sebanyak 43.63 peratus.

Kata beliau, kategori tiga yang melibatkan masalah radang paru-paru dan memerlukan rawatan dan pemerhatian di hospital mencatatkan sebanyak 0.6 peratus.

“Bagi kategori empat dan lima yang memerlukan bantuan oksigen dan pernafasan dengan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula masing-masing sebanyak 0.04 peratus dan 0.02 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr. Othman, hampir kesemua kes baharu tersebut berjaya dikesan pada peringkat awal dan pihaknya percaya situasi pandemik semakin terkawal dengan peningkatan liputan imunisasi.

Sementara itu, beliau berkata, peningkatan kes baharu yang berlaku di Kedah sejak kebelakangan ini adalah berikutan aktiviti pengesanan kes secara pasif dan aktif serta penjejakan kontak dan saringan bergejala sejak bulan lalu. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI