PETALING JAYA – Berat kaki melangkah meninggalkan pusara bidadari syurganya. Itu yang dapat dilihat apabila Shuib dilihat beberapa kali menoleh kebelakang melihat pusara Siti Sarah ketika melangkah pergi usai majlis pengebumian sekitar pukul 1.35 petang hari ini.
Detik hiba itu dapat disaksikan dalam video siaran langsung majlis pengebumian Siti Sarah di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak.
Shuib yang diiringi ahli keluarga dan rakan terdekat dilihat beberapa kali memberhentikan langkahnya, menoleh dan melihat pusara arwah isterinya dalam keadaan memakai pakaian perlindungan diri (PPE).
Lebih duka, Shuib juga dilihat duduk dan termenung dalam keadaan sugul di kawasan lapang berhampiran pusara isterinya itu.
Untuk rekod, jenazah Allahyarham selamat disemadikan sekitar pukul 1.35 petang tadi oleh petugas kesihatan.
Difahamkan, Shuib juga diberi peluang menguruskan upacara pengebumian Siti Sarah sambil dibantu beberapa ahli keluarga yang lain.
Malah, detik tersebut turut mengundang sebak netizen sekaligus mendoakan agar Shuib terus kuat untuk memegang peranan ayah serta ibu kepada empat cahaya matanya.
“Alahai sayu melihat pandangan Shuib melihat pusara Siti Sarah. Teruskan kuat demi anak-anak,” doa seorang pengguna Facebook hari ini.
Kesemua yang terlibat dalam upacara pengebumian lengkap memakai PPE dan menyembur cecair pembasmi kuman selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jenazah sebelum itu tiba di tanah perkuburan berkenaan sekitar pukul 12.40 tengah hari selepas bergerak dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sekitar 12.13 tengah hari.
Sarah disahkan meninggal dunia pukul 5.13 pagi setelah tiga hari ditidurkan akibat jangkitan Covid-19
Kosmo! pada 7 Ogos lalu melaporkan Siti Sarah selamat melahirkan bayi lelaki dalam keadaan koma menerusi pembedahan bagi mengelakkan risiko akibat keadaannya yang agak kritikal.
Siti Sarah, 37, sebelum ini dikejarkan ke PPUKM pada Selasa lalu berikutan tahap oksigen dalam badannya yang semakin merosot.
Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas menjalani saringan apabila pembantu rumah mereka disahkan positif virus maut tersebut. – K! ONLINE