SHAH ALAM – Tiga anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan termasuk pilihan menerima rasuah berjumlah RM2,000 sebagai dorongan tidak melaporkan kesalahan aktiviti tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ), Jun lalu.
Mereka adalah Lans Koperal Mohamad Taufik Abdul Aziz, 31 ; Konstabel Mohamad Fazli Nordin, 28 dan Konstabel Shahrul Norhan Sirhan, 26, yang membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.
Difahamkan kesemua mereka adalah daripada Cawangan Khas sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh secara bersama telah menerima wang tunai berjumlah RM2,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun.
Ini sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kesalahan dilakukan iaitu menjalankan aktiviti tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP.
Justeru, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Bagi pertuduhan pilihan pula, mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Jalan Kebun, Seksyen 30, di sini pada 25 Jun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM7,000 setiap seorang bersama penjamin dan syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh diwakili Peguam Tham Weng Kin, Faizah K. Zaberi dan Azli Azlin memohon jaminan dikurangkan kepada RM3,000.
Mahkamah menetapkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dan melaporkan diri di pejabat SPRM pada awal setiap bulan.
Sebutan semula kes pada 13 September depan. – K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929