GEORGE TOWN – Individu yang telah melengkapkan dos vaksin Covid-19 dinasihatkan agar menyediakan tangkap layar sijil digital vaksinasi dalam telefon bimbit masing-masing untuk ditunjukkan kepada petugas bagi melancarkan perjalanan serta pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, sumber Kementerian Kesihatan (KKM) Pulau Pinang menyatakan lebih kurang 61.7 peratus penduduk di negeri ini menerima dos pertama vaksin, manakala lebih kurang 27 peratus telah melengkapi dua dos vaksin.
“Ini bermakna mereka yang berjaya melengkapkan dua dos vaksin dalam tempoh dua minggu layak untuk mendapatkan kemudahan yang telah diberikan seperti merentas daerah.
“Bagi memudahkan petugas barisan hadapan terutama di lokasi SJR, mereka yang telah lengkap dua dos ini dinasihat untuk menyediakan tangkap layar berkaitan vaksin yang telah diterima di dalam telefon bimbit masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Fisol, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ketua-Ketua Polis Daerah akan melaksanakan pemantauan ke atas semua premis bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
Katanya, peraturan dan garis panduan yang telah dikeluarkan adalah jelas menyatakan syarat-syarat untuk mengadakan aktiviti yang dibenarkan seperti sukan, riadah, rekreasi dan sektor sosial.
“Peraturan dan garis panduan ini menyasarkan pelanggan yang memiliki vaksin lengkap bagi menikmati kemudahan seperti ‘dine-in’.
“Pemilik atau pengusaha premis makanan hendaklah memastikan bahawa pekerja telah divaksin dengan mempamerkan deklarasi penerima vaksin lengkap,” katanya.
Selain itu, beliau menambah, pemilik premis juga perlu memastikan bilangan pelanggan di satu meja hanyalah 50 peratus daripada keluasan dan memastikan susun atur meja mengikut penjarakan.
“Sistem pengudaraan di dalam kedai adalah baik dan memastikan hanya pelanggan yang telah menerima vaksin lengkap berada di dalam kedai,” katanya. – K! ONLINE.