MUNCUL dengan single terbaharu berjudul Berakhirlah Pencarianku duet bersama seorang penyanyi kegemarannya, Hafiz Suip, Ernie Zakri berbicara tentang impak pandemik terhadap karier nyanyian dan penolakannya dilabel penyanyi ‘pitch perfect’.
Jika dibentangkan dalam bentuk resume, pencapaian Ernie Zakri sebenarnya sangat bersifat impresif.
Dua kali ditabalkan sebagai pemenang trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL), itu bukan satu pencapaian sembarangan.
Bagaimanapun, sebelum dicanang sebagai antara vokalis hebat wanita tanah air masa kini, pemilik nama lengkap Nur Ernie Shahirah Zakri itu berdepan banyak kekangan untuk lazim di bibir peminat dan menyerlah dalam laluan arus perdana.
Selama ini juga, dia sering berdamping suara dengan suami, Syamel. Terkini, Ernie hadir dengan single terbaharu berjudul Berakhirnya Pencarianku duet bersama vokalis lelaki hebat tanah air, Hafiz Suip.
Baru sahaja memberi buah tangan buat para peminat menerusi Goodbye Hello sekitar sebulan lalu, Ernie menyifatkan peluang berkolaborasi dengan salah seorang penyanyi kegemarannya, Hafiz sebagai satu perihal yang tidak sepatutnya dilepaskan.
“Bila lagi nak menyanyi dengan Hafiz. Saya sifatkan kerjasama ini sebagai satu kemajuan dalam kerjaya sebagai seorang penyanyi. Satu bentuk rezeki yang tak boleh dilepaskan.
“Dahulu, masa mula-mula nak bertatih dalam bidang ini, saya tengok Hafiz menyanyikan lagu Awan Nano di pentas AJL di skrin televisyen, saya memang sangat meminati bakat nyanyiannya. Masa tengok dia melakukan persembahan, dalam hati terdetik, hebat sungguh dia ini.
“Jadi, selepas 12 tahun, dapat berpadu suara dengannya umpama satu mimpi yang akhirnya menjadi kenyataan. Saya memang pemuja vokal Hafiz, kalau tak percaya, tanya keluarga saya,” kata pelantun lagu Ku Bersuara itu.
Bercerita tentang proses rakaman lagu ciptaan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh serta lirik ciptaan Datuk A. Aida itu, Ernie berkata, mereka berdua mencuba yang terbaik untuk menemukan common ground (titik persamaan) dari segi vokal.
Pitch perfect
Tuturnya, baik dia mahupun Hafiz, mereka tidak mahu projek berkenaan menjadi seperti pertembungan vokal siapa tinggi, siapa rendah tapi lebih ke arah menginginkan kompromi dalam paduan suara.
“Vokal perlu ‘jalan’ seriring, kena sama-sama sedap. Kita mencari keseimbangan dan saya tak nak apabila orang dengar macam terlalu ‘over’.
“Kita juga tidak mahu terlalu bersepah-sepah. Justeru, baik saya mahupun Hafiz, dari segi vokal, kami banyak bermain dengan melodi. Hasilnya, jadilah seperti apa yang kalian dengarkan, harap peminat berpuas hati,” ujarnya.
Ditebak pertanyaan projek lagu ini ibarat pertembungan pitch perfect dua penyanyi hebat, jawab Ernie: “Saya bukan pitch perfect, kadang-kadang pun ‘hauk’ juga menyanyi. Namun begitu, saya berharap peminat akan menerima dengan sebaiknya.
“Pada masa sama, saya pasti, ramai yang akan membandingkan rakan duet sekarang dengan yang sebelum ini. Nak buat macam mana, perbandingan akan tetap wujud. Setiap penyanyi menghadapi perkara sama.
“Bagi saya, sebagai seorang penyanyi profesional, hanya yang terbaik akan selalu saya sampaikan buat pendengar. Selebihnya, biar mereka sendiri yang menghakiminya.”
Bekerja sebagai penyanyi pada era yang cukup mencabar disebabkan pandemik Covid-19, sememangnya memberi tamparan yang cukup hebat.
Kalau sebelum virus Covid-19 menjalar, menyanyi di depan ribuan bahkan jutaan penonton tidak menjadi masalah. Namun sekarang, perihal tersebut menjadi jarak, yang terlalu jauh untuk didakap.
Hikmah Covid-19
Ernie tidak menafikan hal sama, namun percaya, situasi sekarang menyembunyikan hikmah tersendiri. Ujarnya, bukan hanya dari segi pendapatan, banyak aspek lain yang terjejas dan perlu diberikan perhatian sewajarnya.
“Dari segi pendapatan, memang jelas anak seni antara golongan yang sangat terjejas. Pun begitu, apa yang ingin saya tekankan juga adalah penjagaan kesihatan mental dan emosi pada waktu terdesak sekarang.
“Semua orang perlu ambil perhatian tentang aspek ini kerana hidup berkurung bukan satu perkara yang mudah. Mental kita senang terkesan,” kata Ernie yang merupakan bekas guru muzik di Akademi Muzik Bentley di Mutiara Damansara, Petaling Jaya.
Tambah Ernie, semua orang merindukan kehidupan lama termasuk dirinya yang tergolong sebagai anak seni.
“Kita ‘hidup’ dengan orang awam. Menyanyi di atas pentas sebelum ini. Jadi apabila perkara itu tidak lagi boleh dilunaskan seperti lazimnya, rasa sangat sukar untuk menerima realiti.
“Tapi apa yang kita boleh buat? Kita perlu teruskan hidup. Mahu atau tidak, kena hidup dengan virus Covid-19. Insya-Allah, semuanya akan dipermudahkan suatu hari nanti,” katanya.
Mengulas tentang pendapatan yang terjejas, Ernie berkata, dia giat mengusahakan perniagaan keropok lekor crispy walaupun dibatasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mujurlah, saya dan suami ada buat bisnes keropok lekor untuk menjana pendapatan. Dapatlah tampung mana yang lompong.
“Terkesan, terkesan juga tapi tak boleh berpeluh tubuh sahaja. Insya-Allah, ada jalan untuk kita semua meneruskan kehidupan selagi berusaha,” dedahnya.
Berisi
Dalam pada itu, adat apabila sudah berkahwin, ramai yang mendoakan seseorang itu agar cepat diperkenankan urusan zuriat. Ernie tidak terkecuali, namun ramai yang mempersoalkan fizikalnya yang semakin berisi.
Dia mengakui terkesan dengan peluru-peluru kata netizen mendakwa dirinya kelihatan berisi meskipun tahu mereka mungkin sekadar bermesra atau bergurau dengannya.
“Saya tak marah pun. Cuma, saya ingin mengutarakan isu ini yang boleh dianggap bahaya kerana mampu memberi kesan buruk sehingga seseorang bertindak membunuh diri.
“Kita lihat sekarang banyak akibat buruk disebabkan komen yang boleh mengganggu psikologi seseorang. Kalau memang niat untuk bermesra pun, apa salahnya komen secara berhemah.
“Namun, komen menyentuh fizikal seseorang adalah sangat tidak patut. Kita tidak tahu apa pernah dilalui seseorang itu sebelum ini mengenai fizikalnya dan tiba-tiba ada individu yang tidak dikenali mempersendakan dirinya,” kata Ernie.
Mengakui terkilan apabila menjadi mangsa komen sebegitu, Ernie ingin memberikan kesedaran kepada orang ramai menerusi media sosial agar tidak melazimkan tabiat sedemikian dalam masyarakat.
“Saya ada memuat naik foto terbaharu dan ada yang komen saya sudah gemuk. Terus-terang, sebagai manusia biasa komen sebegitu buat saya sedih.
“Jadi, saya rasa perlu bersuara untuk teguran bersama bagi memastikan orang ramai lebih peka bahawa komen negatif boleh berakhir dengan perkara bahaya,” katanya memberi noktah perbualan.