RANTAU PANJANG – Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak 110 ekor kambing jenis boer yang dipercayai diseludup dari negara jiran di kawasan Taman Perumahan Jintan KB IV, Pusu 40 di sini kelmarin.
Kesemua kambing yang dianggarkan bernilai RM 165,000 itu dirampas di dalam sebuah lori sewaktu anggota PGA menjalankan rondaan rutin di kawasan tersebut kira-kira pukul 11 malam.
Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, siasatan awal mendapati, sebuah lori telah memotong kenderaan anggota PGA di persimpangan lampu isyarat Lubok Jong menghala ke Tanah Merah di sini.
Menurutnya, anggota PGA telah bertindak mengekori lori tersebut sebelum berjaya menahan kenderaan itu di kawasan perumahan.
“Bagaimanapun, pemandu lori telah melarikan diri ke dalam kawasan hutan berhampiran bagi mengelakkan dirinya daripada dicekup anggota PGA. Hasil pemeriksaan mendapati, sebanyak 110 ekor kambing berada di bahagian dalam ruangan muatan lori itu.
“Berdasarkan siasatan, kesemua kambing-kambing itu dibawa masuk ke negara ini melalui pangkalan haram di sekitar Sungai Golok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929