SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam memperbaharui azam dan tekad mengubah cara berfikir seterusnya bertindak ke arah mencapai matlamat kecemerlangan hidup.
Baginda bertitah, umat Islam perlu mencontohi sifat terpuji Nabi Muhammad S.A.W dengan membuang segala sikap negatif dalam diri.
“Ini termasuk sifat hasad dengki dan fitnah memfitnah yang dilakukan antara satu sama lain terutama di media sosial.
“Perkara sebegitu boleh meruntuhkan perpaduan sesama ummah dan memberi kesan yang buruk terutama kepada generasi akan datang,” titahnya dalam Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini bersempena sambutan Ma’al Hijrah 1443M.
Ucapan sambutan itu turut dizahirkan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Titah baginda, segala perkara yang boleh membawa kepada kemungkaran dan sifat tercela juga perlu dijauhi.
“Ia seperti berdusta, khianat, menyembunyikan kebenaran dan menyebarkan berita palsu yang merupakan sifat orang munafik.
“Beta berharap sambutan Ma’al Hijrah kali ini dihayati dengan penuh kesedaran dan kefahaman mengenai pentingnya penghayatan nilai murni di dalam Islam diterjemah kepada setiap aspek kehidupan,” titahnya.
Pada masa sama, Sultan Sharafuddin turut menyeru umat Islam berdoa semoga negara ini sentiasa dilimpahi rahmat Allah S.W.T.
“Semoga kita dijauhkan daripada wabak penyakit dan kekal hidup dalam suasana aman, makmur dan sejahtera,” titah baginda. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929