AMPANG – Cubaan seorang lelaki mahu mencederakan anak saudara sendiri dengan besi dan mengugut mahu memijaknya membawa padah apabila dia ditahan polis, di rumah yang didiami mereka di Tasik Tambahan, dekat sini.
Suspek yang berusia 22 tahun dan tidak bekerja itu ditahan sekitar pukul 7.30 pagi oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi hari ini ketika mangsa yang berumur 17 tahun berada di ruang tamu rumah berkenaan bersama keluarganya.
“Secara tiba-tiba suspek telah meluru ke ruang tamu dengan memegang objek besi dan cuba memijak pengadu menyebabkan remaja itu ketakutan.
“Mangsa mengesyaki suspek berada dalam pengaruh dadah ekoran tindakannya itu dan atas faktor keselamatan, mangsa membuat laporan polis,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semakan mendapati mangsa yang masih bersekolah itu merupakan anak keempat daripada enam adik beradik dan tinggal di rumah berkenaan bersama keluarga dan juga suspek.
Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek dipercayai dalam keadaan halusinasi semasa kejadian dan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Jelasnya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai rekod berkaitan dadah dan direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929