KLANG – Seorang pemandu lori kontena cedera selepas melanggar belakang sebuah jentera bomba di Jambatan Pelabuhan Klang di sini, petang tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.40 petang ketika sepasukan enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja dalam perjalanan pulang setelah selesai memadamkan kebakaran sebuah lori di lokasi berasingan di sekitar jalan tersebut.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu berkenaan cedera dan terperangkap dalam lori tersebut.
“Lelaki berusia 31 tahun itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan dan cedera pada peha kanan.
“Semua anggota bomba turut terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norazam, operasi menyelamat mangsa turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang serta Pelabuhan Klang.
Kebakaran sebuah lori sebelum itu dipercayai melibatkan seorang pemandu wanita di laluan bertentangan, kira-kira pukul 4.30 petang.
Bagaimanapun, mangsa terselamat dan kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya. -K! ONLINE.