fbpx

Muhyiddin ucap takziah atas pemergian Siti Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan salam takziah kepada Shuib Sepahtu atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad di atas pemergian isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin yang meninggal dunia akibat Covid-19 awal pagi tadi.

Muhyiddin menerusi satu kemas kini di laman Facebook berkata, pemergian Allahyarham amatlah memilukan dan dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia termasuk dirinya.

“Khabar duka kehilangan anak seni yang cukup berbakat ini meninggalkan suami, empat anak termasuk seorang bayi dalam keadaan Allahyarham bertarung nyawa di hospital, amat memilukan.

“Bukan sahaja ahli keluarga dan para peminatnya, bahkan seluruh rakyat Malaysia termasuk saya turut bersedih,” katanya.

Tambah beliau, ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham diharap tabah menghadapi detik-detik yang mendukacitakan itu dan menyeru agar semua mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solehah.

“Semoga Allah S.W.T terus melindungi dan memberi kekuatan kepada kita semua untuk berjuang memerangi pandemik ini. Insya-Allah.

“Ya Allah, ampunilah, rahmatilah dan redailah mereka yang telah terkorban akibat virus berbahaya ini. Moga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan moga keluarga yang ditinggalkan terus kuat mengharungi hari-hari mendatang,” doa beliau.

Terdahulu, Kosmo! Online hari ini melaporkan pemergian Siti Sarah, 36, sewaktu sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat Covid-19 pukul 5.13 pagi tadi.

Sebelum ini, penyanyi lagu ‘Kesetiaan’ yang hamil lapan bulan itu terpaksa melalui proses pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih berisiko.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI