KETIKA negara-negara di Asia Tenggara bergelut dengan kenaikan mendadak angka kes Covid-19 akibat varian Delta, beberapa negara di blok Barat pula mula melonggarkan peraturan sekatan pandemik itu.
Amerika Syarikat (AS) misalnya, menjadi yang terawal melonggarkan sekatan-sekatan seperti pemakaian pelitup muka di tempat awam serta acara-acara yang melibatkan orang ramai disebabkan kejayaan program vaksinasinya di negara itu.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, setakat Jumaat lepas, separuh daripada populasi negara itu telah menerima dua dos suntikan vaksinasi lengkap dengan 76 peratus daripada penduduk dewasanya telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Keadaan itu membuatkan pentadbiran Presiden Joe Biden melaksanakan program sumbangan vaksin kepada negara-negara miskin dan dunia ketiga atas dasar tanggungjawab global.
Setakat 4 Ogos lepas, sebanyak 110 juta dos vaksin Covid-19 telah disumbangkan AS kepada 60 buah negara yang paling teruk dilanda Covid-19.
Langkah seperti itu dialu-alukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyeru negara-negara dunia pertama untuk membantu negara-negara miskin dalam melaksanakan program vaksinasi mereka.
Malangnya, di sebalik gesaan tersebut, beberapa negara kaya terutamanya di blok Kesatuan Eropah (EU) bertindak seolah-olah mahu membolot lebih banyak vaksin dalam kalangan mereka meskipun kadar vaksinasi penduduk telah tinggi.
Minggu lalu, beberapa laporan menyebut negara-negara EU bersiap sedia untuk memberikan dos ketiga suntikan penggalak Covid-19 kepada penduduknya bermula September ini.
Di saat negara-negara miskin masih bergelut untuk menjayakan program vaksinasi masing-masing berikutan kekangan bekalan vaksin, negara-negara kaya seperti Jerman, Perancis, Britain, Hungary, Sepanyol dan Itali cuba membolot vaksin dan enggan menyumbangkannya kepada negara memerlukan.
Langkah tersebut dikecam WHO dan pakar-pakar dunia kerana dianggap tidak bermoral dan mementingkan diri sendiri.
“Kita sering melihat corak keputusan seperti ini dari negara-negara kaya sejak permulaan pandemik Covid-19.
“Negara-negara kaya akan membenarkan rakyatnya ‘menikmati bufet’ untuk kali kedua dan membiarkan separuh daripada penduduk dunia ‘kebuluran’,” kata ketua penyelidikan pengedaran vaksin global di Universiti Duke, Andrea Taylor.
Sebelum ini, WHO telah memberi amaran bahawa langkah pemberian suntikan penggalak itu belum mempunyai kajian dan data yang mencukup, selain turut menggesa negara-negara berpendapatan tinggi agar menghentikan rancangan memberi vaksin penggalak kepada penduduk.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, tindakan negara-negara kaya tersebut menunjukkan sikap tamak mereka dan tiada rasa tanggungjawab global untuk sama-sama membantu menghentikan wabak Covid-19 ini.
Tambahnya, langkah tergesa-gesa untuk memberi suntikan penggalak kepada penduduk masing-masing akan menyebabkan kekurangan bekalan vaksin.
“Malah, tiada kajian yang mencukupi untuk membuktikan bahawa pemberikan tiga suntikan vaksinasi adalah berkesan.
“Adalah lebih baik dos selebihnya disumbangkan kepada negara miskin agar mereka boleh mencapai sekurang-kurangnya satu dos suntikan,” katanya. -K! ONLINE