fbpx

Kemudahan e-JanjiTemu PTPTN lancarkan urusan pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenalkan kemudahan e-JanjiTemu PTPTN bagi memantapkan perkhidmatan selaras dengan garis panduan pengoperasian pejabat Jabatan Perkhidmatan Awam bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kemudahan e-JanjiTemu PTPTN merupakan kemudahan online bagi membolehkan pelanggan yang ingin berurusan dengan pegawai PTPTN di kaunter Pejabat PTPTN Negeri atau cawangan yang berdekatan membuat janji temu terlebih dahulu sebelum hadir ke kaunter berkenaan.

PTPTN menerusi satu kenyataan berkata, kemudahan tersebut diperkenalkan bagi membantu pelanggan yang memerlukan khidmat pegawai PTPTN secara bersemuka kerana urusan tertentu tidak dapat dilaksanakan secara online.

“Antara urusan yang dibenarkan untuk berurusan di kaunter meliputi rundingan penstrukturan pinjaman, pendaftaran penama SSPN, permohonan penangguhan disebabkan masih belajar dan penghantaran cek potongan gaji majikan atau cek bendahari untuk pinjaman juga simpanan.

“Urusan lain yang dibenarkan juga adalah penghantaran borang pembatalan, pertukaran alamat, kemas kini nombor akaun, tuntutan takaful pinjaman atau SSPN dan pembatalan direct debit,” katanya hari ini.

Jelas kenyataan tersebut, selain daripada yang dinyatakan, urusan-urusan lain adalah kekal melalui kaedah secara online yang lebih mudah, cepat dan selamat.

“Kemudahan e-JanjiTemu PTPTN telah mula digunakan semenjak 26 Julai lalu dan pelanggan hanya perlu melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my lalu klik pada e-Perkhidmatan serta melengkapkan maklumat janji temu, maklumat diri dan membuat pengesahan.

“Slip tempahan akan dikeluarkan untuk pelanggan mencetak atau muat turun atau tangkap layar untuk dikemukakan semasa hadir di kaunter PTPTN yang terpilih dan temu janji tersebut haruslah dibuat selewat-lewatnya sehari sebelum tarikh berurusan,” ujarnya.

PTPTN turut menegaskan bahawa pelanggan perlu memastikan pematuhan garis panduan yang telah ditetapkan dipraktikkan sepenuhnya seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, tidak bergejala serta hadir tepat pada tarikh dan masa yang ditetapkan.

“Wakil tidak akan dibenarkan untuk berurusan serta urusan di kaunter juga perlu dilakukan dalam waktu yang singkat dan pelanggan yang tinggal di luar kawasan haruslah mendapat kebenaran pihak berkuasa terlebih dahulu.

“Pelanggan yang telah mendapat tarikh janji temu namun menetap di kawasan yang sedang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) adalah tidak dibenarkan untuk berurusan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, PTPTN turut menyediakan saluran perkhidmatan lain iaitu e-Aduan melalui portal rasmi PTPTN atau pelanggan boleh menghubungi Pegawai Khidmat Pelanggan serta Eksekutif Pemasaran PTPTN di seluruh negara melalui nombor telefon yang dipaparkan di pautan
https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn.

Perkhidmatan Live Chat turut tersedia di portal rasmi PTPTN atau hubungi terus talian 03 – 2193 3000 pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI