LONDON – Pengarang buku Love and Sex with Robots, Dr. David Levy berkata bahawa perkahwinan antara manusia dengan robot seks akan menjadi sesuatu yang normal menjelang 2050, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Dr. Levy berkata, sama seperti perkahwinan sejenis yang sebelum ini dianggap asing, penerimaan kepada kepintaran buatan (AI) juga akan pantas berubah seiring dengan kemajuan teknologi.
Katanya, menjelang tahun 2050, mereka yang menentang perkahwinan antara manusia dengan robot akan menjadi golongan minoriti.
Pakar AI itu berkata, robot seks akan menjadikan individu yang kesunyian gembira kerana mempunyai teman buat pertama kali.
“Ini bukanlah petanda penghujung ketamadunan manusia, biarpun sudah ramai yang mengatakan robot akan mengambil alih dunia.
“Malah, saya fikir ia merupakan langkah positif dalam masyarakat kerana kelebihan mempunyai robot yang menyerupai manusia dapat dilihat bagi individu yang tidak boleh atau tidak mampu menjalin hubungan sesama manusia,” katanya.
Robot seks yang banyak berada di rumah-rumah kelak mungkin sukar dipercayai sekarang, namun menurut Dr. Levy, saintis boleh menjadikan perkara itu sesuatu yang tidak mustahil.
“Saya fikir ia akan menjadi semakin diterima oleh sebahagian besar populasi manusia,” katanya. -Agensi