fbpx

Ismail, Muhammad tokoh Maal Hijrah kebangsaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syaikh Ismail (kiri) dan Muhammad (kanan) dianegerahkan tokoh Maal Hijrah.

PUTRAJAYA – Hakim Majlis Ti­lawah Peringkat Kebangsaan dan antarabangsa Tan Sri Dr. Syaikh Ismail Muhammad, 77, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi peringkat Kebangsaan 2020/1442 Hijrah.

Pengumuman itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada majlis sambutan Maal Hijrah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) di sini.

Manakala, Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pula diberikan kepada Penasihat Majlis Diraja Arab Saudi, Syeikh Dr. Muhammad bin Abdul Karim AI-Issa, 56.

Majlis penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada Tokoh Maal Hijrah disampaikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sambil disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pemilihan kedua-dua tokoh tersebut dibuat atas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan syiar Islam, di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Malah kedua-dua tokoh ter­babit mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Penganugerahan itu menyaksikan kedua-dua tokoh terbabit masing-masing, menerima hadiah wang tunai, pingat dan sijil penghargaan.

Syaikh Ismail adalah bekas Imam Besar Masjid Negara manakala, Syeikh Dr. Muhammad pula adalah Setiausaha Agung Rabitah al-‘Alam al-Islamic Makkah al-Mukarramah dan Presiden Pertubuhan Halal Islam Antarabangsa.

Sementara itu, Syaikh Ismail menerusi klip rakaman video berkata, beliau menganggap pengiktirafan itu sebagai penghormatan kepada beliau dan keluarganya.

Manakala, Syeikh Muhammad menerusi rakaman video sama pula berkata, beliau merakam penghargaan kepada kerajaan Malaysia di atas kurniaan itu.

“Ini kerana anugerah ini datang daripada sebuah negara yang amat dekat pada jiwa saya dan negara yang kedudukannya amat tinggi dalam dunia Islam dan antarabangsa,” katanya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI