KUALA LANGAT – Jenayah pecah rumah dan hotel peranginan yang didalangi Geng Ameng sejak dua tahun lalu tumpas selepas tiga lelaki termasuk ketua kumpulan itu dicekup dalam dua operasi berasingan sekitar Banting di sini, semalam.
Kesemua mereka berusia lingkungan 20-an itu ditahan dalam tempoh dua jam bermula pukul 7 petang di tepi jalan Taman Setia Jaya dan sebuah kedai runcit di Jalan Keli, Kampung Tongkah.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, berdasarkan penahanan mereka turut menemukan tiga alat penghawa dingin dan televisyen serta satu pembesar suara yang dipercayai hasil daripada jenayah mereka.
Katanya, turut dirampas adalah sebilah parang, hasil curi dan sejumlah dadah iaitu lapan peket syabu, 10 pil Eramin 5 dan enam peket ganja.
“Hasil siasatan mendapati kumpulan ini diketuai lelaki dikenali Ameng dengan ujian air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Semakan rekod juga mendapati mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah, curi kenderaan dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, susulan penangkapan kesemua suspek itu berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah dan hotel peranginan.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929