PUTRAJAYA – Dua wanita terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengurangkan pertuduhan terhadap mereka daripada mengedar kepada memiliki 294.9 gram dadah.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Suraya Othman yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Ghazali Cha.
Dua wanita tersebut iaitu Zawani Zulkifli ,35, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun atas kesalahan memiliki 212.7 gram heroin manakala Nur Zahirah Yusoff ,34, dipenjara 13 tahun kerana memiliki 82.2 gram monoacetylmorphine.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Harbour Place Off Jalan Assumption, Seberang Perai Utara pada 4.45 petang, pada 18 Disember 2016.
Hukuman penjara masing-masing terhadap penganggur dan bekas ejen tiket syarikat bas itu berkuatkuasa bermula tarikh mereka ditangkap pada 18 Disember 2016.
Dalam prosiding itu, hakim Suraya berkata, mereka bernasib baik kerana pihak pendakwaan menawarkan untuk mengurangkan pertuduhan terhadap mereka.
“Kamu berdua akan mendapat pengurangan satu pertiga hukuman kerana berkelakuan baik semasa di penjara dan kami berharap kamu akan berubah sikap,” katanya.
Sementara itu, hakim Abu Bakar berkata, kedua-duanya perlu menganggap diri mereka bertuah kerana pihak pendakwa bersetuju mengurangkan pertuduhan sehari sebelum sambutan Awal Muharram, esok.
Dalam prosiding hari ini, Zawani diwakili peguam Mohd. Izhar Ahmad Azmi dan Mohd. Hafiz Jalaludin manakala Nur Zahirah diwakili peguam K. Simon Murali
Sebelum ini pada 31 Oktober 2019 Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka kerana mengedar dadah jenis heroin dan monaacetylmorphines seberat 294.9 gram.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan kedua-dua tertuduh gagal mewujudkan keraguan munasabah terhadap kes di akhir kes pembelaan. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929