fbpx

UMNO anggap jawatan Ahli MKT masih sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – UMNO berpendirian pandangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bahawa tempoh pemegang jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu bagi penggal 2018-2021 telah tamat pada 30 Jun 2021 adalah tidak lagi berbangkit.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pendirian itu berdasarkan surat-menyurat antara ROS dan UMNO yang telah mewujudkan satu harapan yang sah oleh UMNO ke atas ROS untuk memperakukan penangguhan pemilihan UMNO.

Menurut beliau, UMNO membuat pertimbangan menangguhkan pemilihan UMNO selama 18 bulan selepas mempertimbangkan pandangan yang diberi oleh ROS melalui surat bertarikh 2 Jun 2021, surat daripada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 10 Mei 2021 dan surat daripada Timbalan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertarikh 11 Jun 2021.

“Mesyuarat MKT pada 19 Februari 2021 menetapkan untuk menangguhkan pemilihan UMNO. Mesyuarat MKT pada 25 April 2021 membuat keputusan merujuk kepada ROS dan MKN bagi mendapatkan pandangan berkenaan menjalankan mesyuarat dan pemilihan parti dalam suasana pandemik Covid-19 di Malaysia.

“MKN dan KKM telah mengesyorkan bahawa sekiranya pemilihan secara maya tidak dapat dilaksanakan, maka penangguhan patut dibuat untuk mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Ahmad berkata, pandangan pihak ROS, MKN dan KKM itu kemudian telah dimaklumkan kepada Ahli MKT UMNO dan ROS sedia maklum MKT UMNO membuat keputusan menangguhkan pemilihan untuk tempoh 18 bulan selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO melalui surat UMNO kepada pihak ROS bertarikh 24 Jun 2021.

Tegas beliau, MKT telah membuat keputusan secara majoriti melalui resolusi pekeliling dan dalam menjalankan kuasanya menurut Fasal 10.16 yang bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan bermula 30 Jun 2021.

Tambah beliau, Perlembagaan UMNO tidak menyebut secara khusus berkenaan kaedah untuk MKT membuat sesuatu keputusan, maka keputusan MKT telah dibuat berdasarkan suara majoriti.

Jelas beliau, seramai 52 daripada 56 Ahli MKT UMNO telah bersetuju agar pemilihan parti ditangguhkan.

“Pihak ROS telah memperakui penerimaan surat UMNO bertarikh 24 Jun 2021 melalui surat ROS bertarikh 19 Julai 2021 yang antara lain telah menyatakan bahawa pihak ROS tidak mempunyai halangan terhadap penangguhan pemilihan parti UMNO dan keputusan ini adalah mematuhi Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO.

“Keputusan mesyuarat MKT pada 7 Julai 2021 yang dimaklumkan kepada pihak ROS melalui surat UMNO bertarikh 30 Julai 2021 hanyalah untuk mengesahkan keputusan MKT yang dibuat terlebih awal melalui resolusi pekeliling pada 18 Jun 2021,” katanya.

Justeru, katanya, pentafsiran yang diberikan oleh peguam cara UMNO terhadap Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO adalah dengan jelas menyatakan bahawa penangguhan pemilihan UMNO adalah kuasa mutlak MKT dan oleh sebab itu UMNO hanya perlu memaklumkan kepada pihak ROS.

*UMNO berharap agar dengan penjelasan ini, maka polemik di antara UMNO dan ROS dapat diselesaikan. Tambahan lagi dengan kes Covid-19 yang tinggi mencecah sekitar 20,000 kes sehari menambah lagi kesukaran untuk mesyuarat perwakilan dan pemilihan diadakan dengan penglibatan 3.3 juta orang ahli UMNO dan 66,287 jumlah mesyuarat perwakilan UMNO di seluruh negara,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI