PETALING JAYA – Pasukan tercorot Liga Super, UiTM FC akhirnya menamatkan kemarau selepas meraih kemenangan pertama saingan musim ini dengan menewaskan Perak FC 2-0 sebentar tadi.
Pada saingan di Stadium UiTM, Shah Alam itu, skuad The Lions Troops kendalian Reduan Abdullah itu menjaringkan gol hasil gerakan cantik yang berjaya disudahkan oleh Sean Giannelli pada minit ke-30.
Bersambung pada babak kedua, skuad The Bos Gaurus terus hampa apabila pasukan tuan rumah meledak jaringan kedua menerusi Shafiq Al-Hafiz yang memanfaatkan peluang terhidang pada minit ke-74.
Perak yang dibimbing oleh oleh pengendali sementara, Shahril Nizam Khalil berusaha untuk bangkit tetapi sudah terlewat dengan keputusan 2-0 sehingga kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan tersebut menyaksikan nasib malang pasukan Perak FC berterusan dengan kekal di zon penyingkiran liga di kedudukan ke-11 dengan 13 mata manakala UiTM FC meraih lima mata.
Sementara itu, di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, skuad Kuala Lumpur City (KL City) menamatkan ‘badi’ seri sejak empat perlawanan lepas dengan menewaskan Petaling Jaya City (PJ City) dengan keputusan 1-0.
Pada aksi tersebut, skuad kendalian Bojan Hodak meraih gol tunggal perlawanan menerusi ledakan kapten pasukan, Paulo Josue pada minit ke-31.
Josue berpeluang untuk menambah gol buat KL City tetapi gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit-minit akhir perlawanan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929