JAGUH berbasikal negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom bangkit melakukan kejutan apabila mara ke peringkat suku akhir dalam acara keirin meskipun terjatuh pada pusingan kelayakan di Olimpik Tokyo sebentar tadi.
Kecederaan yang dialami akibat insiden pada aksi saringan tidak mematahkan semangat pelumba berusia 25 tahun itu untuk mengiringi Datuk Azizulhasni Awang pada ke suku akhir selepas menamatkan saingan di kedudukan kedua dalam pusingan repechages.
Shah Firdaus terjatuh pada pusingan kelayakan menyebabkan dia terpaksa menarik diri ketika saingan itu diadakan semula, namun membuat keputusan untuk menyertai pusingan repechages.
Pada saingan suku akhir nanti akan melibatkan 18 pelumba dan di bahagikan kepada tiga saringan.
Pelumba-pelumba yang menduduki tempat pertama hingga keempat di setiap saringan akan layak ke peringkat separuh akhir. – K! ONLINE