fbpx

Rusia pamer pesawat halimunan satu enjin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesawat tempur ringan halimunan Checkmate mempamerkan kemajuan teknologi aeroangkasa Rusia.
ZAKI SALLEH, WARTAWAN EKSEKUTIF

Walaupun bukan lagi negara terkuat di dunia, namun kehebatan kuasa ketenteraan Rusia masih digeruni dan menarik perhatian pemerhati pertahanan.

Jadi, tidak hairanlah apabila kemunculan pesawat tempur ringan generasi kelima terbaharu dan termoden yang dibangunkan industri aeroangkasa negara itu sangat dinanti-nantikan.

Prototaip pesawat tempur halimunan yang bernama Checkmate ini dipamerkan pada pameran aeroangkasa MAKS-2021 International Aviation and Space Salon di Zhukovsky, Julai lalu.

Juga dikenali sebagai Sukhoi LTS atau akronim Rusia bagi pesawat tempur ringan, ia berada dalam kelas yang sama dengan pesawat Lockheed Martin F-35 milik Amerika Syarikat (AS). Pesawat itu telah diper­kenalkan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin di pameran tersebut.

Berbeza dengan milik pesaing, pesawat tempur satu enjin ini dikatakan mampu beroperasi pada radius operasi kira-kira 1,500 kilometer dengan beban persenjataan sehingga tujuh tan yang juga paling baik dalam kelasnya.

Antara sistem persenjataan yang boleh dipasang pada pesawat ini seperti peluru berpandu udara ke udara RVV-MD dan SD, peluru berpandu udara ke permukaan KH-38MLE dan peluru berpandu antiradiasi Kh-58UShKE. Persenjataan lain adalah bom panduan laser KAB-250LG-E LGB, bom dan roket.

Walaupun yang dipamerkan cuma model rekaan konsep, namun dengan teknologi sedia ada pembinaan pesawat ini tidak sukar untuk dicipta Rusia.

Penerbangan pertama pesawat ini dijangka dua tahun lagi, manakala penghantaran pertama pada penggunanya pula disa­sarkan pada tahun 2026.

Penganalisis pertahanan dan geostrategik, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, langkah Rusia menampilkan pesawat terbaharu itu dilihat membawa trend terkini dalam persaingan teknologi aeroangkasa.

Menurutnya, ciri-ciri pada pesawat itu sangat berbeza berbanding kecen­derungan Rusia sebelum ini yang menghasilkan pesawat tempur bersaiz besar.

“Perubahan teknologi aero­angkasa turut berkait rapat dengan trend peperangan atau pertempuran pada masa sekarang untuk masa hadapan.

“Selain reka bentuk, keupayaan dan ciri halimunan, kekuatan sebuah pesawat udara ialah pada sistem persenjataan atau lebih tepat lagi apakah jenis bahan letupan yang dibawa.

“Fungsi pesawat udara adalah untuk melepasi halangan lawan dan melancarkan serangan tepat dengan senjata yang dibawa terutama peluru berpandu,” ujarnya.

Muhammad Fuad berkata, kemungkinan juga konsep pesawat tempur ringan itu disesuaikan dengan trend penggunaan dron.

“Pertempuran antara Azerbaijan dan Armenia pada Oktober 2020 telah menunjukkan keberkesanan teknologi dron dan ia adalah satu konsep peperangan udara yang semakin penting.

“Dron bersenjata Azerbaijan mudah melepasi radar pertahanan udara musuh selain gagal ditangkis. Maksudnya di sini, pesawat tempur ringan generasi kelima dengan ciri halimunan menjurus ke arah dron dengan saiz yang cuma besar sendikit.

“Jadi, trend perang udara masa hadapan adalah kombinasi antara pengoperasian dron dengan pesawat tempur ringan halimunan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, langkah Rusia menonjolkan Checkmate juga tidak mustahil sebagai propaganda industri terutama kepada AS sehinggalah pesawat sebenar dibina.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI