BESUT – Setiap pagi, seorang peniaga makanan yang menghidap asma gigih menolak kereta sorong dari rumah ke rumah bagi menjual juadah sarapan di Pulau Perhentian, Kuala Besut di sini.
Itu rutin Nur Kamira Rizami, 31, mengunjungi setiap 230 rumah di pulau peranginan tersebut bermula dari pukul 7.30 pagi bagi memastikan makanannya terjual sejak bulan Mac lalu.
Dia berkata, ibunya, Rohani Yaakob, 49, sebelum ini berniaga pelbagai menu sarapan seperti nasi lemak, nasi dagang, nasi kerabu dan kuih-muih di Medan Selera Pulau Perhentian Kecil.
“Begitupun, sejak penutupan sektor pelancongan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), medan selera itu sepi tanpa kehadiran pengunjung yang sebelum ini rata-ratanya merupakan pelancong.
“Orang kampung juga risau keluar rumah kerana penularan Covid-19. Mahu tidak mahu, saya ambil keputusan menjaja makanan tersebut dari rumah ke rumah demi kelangsungan hidup,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Nur Kamira berkata, dia mengambil masa lebih dua jam menyorong jualan sarapannya dari satu rumah ke satu rumah penduduk memandangkan pergerakannya perlahan ekoran penyakit asma dihadapinya.
“Alhamdulillah sebanyak 50 hingga 60 bungkus makanan dapat dijual setiap pagi. Sekiranya terdapat lebihan tidak dijual, saya sedekahkan kepada pihak memerlukan.
“Walaupun pendapatannya cuma lima peratus daripada pernah diperolehi sebelum PKP, ia tetap rezeki yang disyukuri untuk membiayai kehidupan keluarga saya besar pada musim pandemik ini,” katanya.
Nur Kamira yang baru menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada program Outreach Vaksinasi kelmarin amat berharap sektor pelancongan dapat dibuka secepat mungkin sebelum ketibaan musim tengkujuh pada hujung tahun ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929