KOTA BHARU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menyelamatkan seekor tapir jantan seberat 200 kilogram yang terjatuh ke dalam lubang di kawasan kebun getah di Kesedar Baru Chenulang, Kuala Krai semalam.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang menemui seekor tapir terperangkap di dalam lubang di kawasan berkenaan.
Katanya, operasi menyelamat dijalankan oleh anggota Perhilitan Kuala Krai dan Gua Musang kira-kira pukul 10.30 pagi.
“Pemeriksaan di lokasi itu mendapati seekor tapir jantan terjatuh ke dalam lubang di kawasan kebun getah milik seorang penduduk di situ.
“Berdasarkan siasatan di lokasi kejadian, pekebun membuat lubang tersebut bagi tujuan perladangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah memantau kesihatan luaran haiwan itu dan mendapati ia berada dalam keadaan baik dengan tidak mengalami sebarang kecederaan. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929