TOKYO –Belgium akhirnya berjaya menamatkan penantian 113 tahun untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik bagi acara hoki lelaki selepas menewaskan Australia pada aksi final edisi Tokyo 2020 di Stadium Oi kelmarin.
The Red Lions meraih kejayaan dramatik itu dengan kemenangan 3-2 ke atas pasukan No. 1 dunia berkenaan menerusi penentuan penalti shootout selepas kedua-dua terikat 1-1 dalam tempoh 60 minit permainan.
Penjaga gol Belgium, Vincent Vanasch diangkat sebagai wira selepas menafikan tiga percubaan Australia yang diambil Blake Govers, Joshua Simmonds dan Jacob Whetton.
“Semua pemain memberikan fokus penuh dari awal hingga tamat perlawanan walaupun terpaksa menghadapi penentuan shootout. Tugas saya paling getir ketika itu.
“Saya sangat gembira kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab ini. Saya dapat rasakan seluruh rakyat Belgium sedang berbangga dengan kejayaan pasukan kami,” katanya.
Sementara itu, Australia terpaksa menerima hakikat perit sekali lagi gagal bergelar juara Olimpik selepas kali terakhir menjuarainya pada edisi Athens 2004.
“Ia satu perasaan yang sangat sukar diterima apabila anda tewas dalam penentuan pingat emas,” kata penjaga gol Australia, Andrew Charter.
Tempat ketiga pula dimenangi India menerusi kemenangan 5-4 ke atas Jerman sekali gus menghadiahkan pingat Olimpik pertama buat negara itu dalam acara hoki sejak edisi Moscow 1980. –AGENSI