PETALING JAYA – Pelawak Shuib percaya, doa, bacaan Yasin dan solat hajat tidak henti-henti daripada semua orang menjadi antara asbab berlakunya keajaiban Tuhan terhadap perubahan keadaan kesihatan isterinya, Siti Sarah yang kritikal di Unit Rawatan Rapi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Akui Shuib, ketika segala harapannya seperti sudah punah, Allah menunjukkan jalan keluar selepas memikirkan Siti Sarah yang tidak stabil selepas pembedahan mengeluarkan bayi dalam kandungan, petang Jumaat.
“Sekitar pukul 7.45 malam, oksigen Sarah turun sampai 69, semasa tu saya rasa macam hilang nyawa, kemudian pukul 11.10 malam, doktor beritahu keadaan Sarah sangat kritikal, oksigen dah turun sampai 40.
“Tetapi betullah apabila Allah beri rahmat-Nya kepada hamba yang memerlukan, dengan doa, Yasin dan solat hajat, berlaku keajaiban pada pukul 2 pagi apabila paras oksigen Sarah naik kepada 77 dan 80 pukul 8 pagi. Setakat pukul 6 petang tadi, oksigennya 85.
“Satu perkembangan yang sangat luar biasa. Keajaiban daripada Allah sebab berkat doa orang ramai termasuk yang membacakan Yasin dan melakukan solat hajat untuk kesembuhan Sarah. Satu per satu, Allah permudahahkan urusan,” katanya sebelum memulakan bacaan Yasin sebentar tadi (Sabtu malam).
Bagaimanapun, Shuib atau nama lengkapnya, Shahmira Muhamad, 37, turut memaklumkan isterinya harus terus berjuang kerana virus Covid-19 sangat jahat dan pada bila-bila masa, paras oksigen mungkin boleh berubah.
Dalam pada itu, mengulas tentang keadaan terkini cahaya matanya, Ayash Arfan, Shuib berkata, semuanya berada dalam keadaan yang semakin baik.
“Bayi sudah bernafas dengan baik, boleh terima oksigen melalui tiub ke paru-parunya.
“Kaki dah menendang dan tangan bergerak serta menggenggam. Cuma buat masa sekarang, dia belum menangis dan mengeluarkan suara. Insya-Allah doakan yang baik-baik,” ujarnya. – K! ONLINE