Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR
PUTRAJAYA – Malaysia mencatatkan penurunan kes demam denggi tahun ini dengan merekodkan sebanyak 16,565 kes bagi tempoh Januari hingga semalam berbanding 63,988 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah itu menyaksikan perbezaan sebanyak 47,423 kes bersamaan 74.1 peratus.
Katanya, purata bilangan kes mingguan demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 534 kes seminggu berbanding 1,700 kes seminggu pada tahun lalu dan 2,500 kes seminggu pada tahun sebelumnya.
“Malah tahun ini, semua negeri di Malaysia menunjukkan penurunan kes demam denggi berbanding tahun lalu dengan penurunan di antara 20 peratus sehingga 94 peratus.
“Bilangan kematian demam denggi sehingga kini adalah sebanyak 10 kematian berbanding 106 kematian bagi tempoh sama tahun 2020, iaitu pengurangan jumlah kematian sebanyak 96 kematian yang bersamaan 90.6 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adham berkata, semua pihak tidak boleh mengabaikan usaha pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit lain seperti demam denggi kerana kealpaan boleh menyebabkan kejayaan yang dicapai akan terhapus dalam sekelip mata. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929