GEORGE TOWN – Jumlah katil serta kemudahan bagi merawat pesakit Covid-19 termasuk Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital-hospital di negeri ini mencukupi bagi menampung keperluan pesakit.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah mengambil langkah segera untuk menambah katil serta keperluan di ICU selepas berlakunya peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini.
“Pada masa ini, Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Bukit Mertajam merupakan hospital hibrid bagi rawatan Covid-19 manakala Hospital Kepala Batas telah diubahsuai sepenuhnya menjadi pusat rawatan serta pengurusan pesakit Covid-19.
“JKNPP telah menambah katil serta ruang di ketiga-tiga hospital ini termasuk keperluan di ICU, mereka akan memantau keadaan dalam tempoh seminggu bermula Khamis lalu dan akan melakukan penambahbaikan segera jika ada kekurangan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.
Terdahulu, Kon Yeow merasmikan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang tahun 2021 peringkat Pulau Pinang di pekarangan Komtar.
Sebelum ini, Kon Yeow memaklumkan penggunaan katil Covid-19 di wad ICU di Pulau Pinang hampir mencapai 100 peratus susulan peningkatan kes dicatatkan di negeri ini.
Menurut Kon Yeow lagi, kerajaan negeri akan terus memastikan langkah-langkah sistematik diteruskan selaras dengan hasrat Pulau Pinang mencapai 100 peratus suntikan dos pertama vaksin Covid-19 menjelang awal September. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929