PETALING JAYA – Penantian anggota Caliph Buskers, Fendy Adlun selama tujuh tahun untuk menyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) akhirnya tercapai apabila menerima surat tawaran mendiami
PPR Taman Mulia, Bandar Tun Razak, semalam.
Katanya, dia bersyukur ditempatkan di lokasi yang berhampiran dengan kemudahan awam terutama stesen pengangkutan seperti transit aliran ringan (LRT) dan beberapa kemudahan lain.
“Saya dimaklumkan kunci unit kediaman dua bilik itu nanti sudah boleh diambil beberapa hari lagi. Rasanya selepas dibersihkan, baharu saya dapat pindahkan dulu barang.
“Kalau boleh memang nak masuk cepat ke rumah baharu, sekarang tengah dalam proses kemas dan bungkus barang. Mungkin saya minta tolong kawan untuk pindahkan perabot dan sebagainya.
“Sudah tujuh tahun saya pohon. Akhirnya mendapat perhatian malah lebih mengharukan apabila dihubungi menteri sendiri yang bertanyakan keadaan kami dan semalam berpeluang pula bertemu beliau,” katanya kepada Kosmo! Online.
Seperti dijanjikan pemain dram itu menerima surat tawaran menduduki PPR berkenaan dalam majlis yang diadakan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.
Lebih manis, dokumen itu diserahkan sendiri kepada Fendy, yang merupakan bapa tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan, oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Annuar dalam ciapannya menerusi Twitter juga menyatakan kesediaan untuk membayarkan sewa rumah berkenaan selama setahun.
Terdahulu, pada Julai lalu tular video dimuat naik Fendy di Facebook yang memohon Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memudahkan permohonannya mendapatkan rumah mampu milik DBKL, berikutan keadaan pemuzik terbabit yang kesempitan akibat hilang pendapatan dan tidak mampu lagi membayar sewa rumah yang didiami sekarang.
Pada masa sama, Fendy yang juga bapa tunggal sejak tiga tahun lalu menjaga anak perempuannya, Nur Azalea Zafirah, 6, yang turut mempunyai masalah penglihatan selain disahkan autisme.
Luahan Fendy, 30, mendapat maklum balas pelbagai agensi yang berkunjung ke rumahnya termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan wakil Annuar Musa.
Sementara itu, berkongsi perancangan lain katanya selepas pindah nanti dia mahu menyediakan satu ruang selesa untuk memudahkannya berkarya.
“Dalam situasi pandemik Covid-19 ini banyak kerja terjejas tetapi saya harap dapat produktif dalam berkarya selain mahu tampil dengan sebuah lagi lagu baharu dalam tempoh terdekat.
“Jadi mini pejabat di kediaman baharu nanti dapatlah memudahkan lagi proses kerja penerbitan serta tak mengganggu ruang untuk anak bermain-main,” katanya lagi.
Mengenai anaknya, bapa penyayang itu berharap dapat membawa si kecil menjalani terapi bagi membolehkan keadaannya terus cergas.
“Sepatutnya anak saya menjalani terapi di sebuah hospital sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun ini tetapi terpaksa ditangguhkan.
“Jadi kena tunggu dulu sampai semuanya kembali reda. Buat masa ini, bekas isteri pun bergilir-gilir menjaganya,” kongsi Fendy lagi.
Nur Azalea adalah anak hasil perkongsian hidupnya dengan bekas isteri yang juga anggota kumpulan Caliph Buskers, Nur Nadira Rubiana, 30. – K! ONLINE