KETIKA pemilik nama lengkap Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini memuat naik tangkap layar berserta emoji berbentuk hati dengan tulisan ‘Sayang, apa khabar?’ dalam Instagram pada 12 Julai lalu, ramai dalam kalangan peminat menguntumkan doa tentang jodohnya yang mendekat.
Sehinggalah hari ini, bukan itu realitinya. Dayang Nurfaizah, 40, masih menjalani kehidupan solo. Namun jauh di sudut hati, dia sememangnya mahu hidup berpasangan seperti orang lain.
Dayang juga percaya aturan Ilahi lebih besar berbanding gejolak hati mendambakan putera idaman.
Jodoh, keutamaan
“Kalau perkara itu (jodoh) dah sampai, akan datang juga. Buat masa sekarang memang belum lagi. Saya tahu ramai yang mendoakan segala yang baik-baik agar saya menamatkan zaman bujang, maklumlah usia pun semakin ‘muda’.
“Tetapi, daripada pengakuan bibir saya sendiri tentang kahwin, saya cuma minta orang ramai doakan yang terbaik sahaja. Siapa yang tak nak kahwin dalam dunia ini, tetapi saya tak nak tergopoh-gapah dalam soal itu,” akui Dayang kepada HibGlam menerusi satu panggilan telefon baru-baru ini.
Bukan tidak cakna bahawa usia semakin bertambah tetapi pelantun lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu berpendapat, sewaktu persoalan jodoh menemukan jawapan terbaik, pada masa sama, ada perkara lain yang lebih membuahkan kebahagiaan perlu dilunaskan dalam kehidupan.
“Kita ada keluarga dan mereka sangat sayangkan kita. Rasa bahagia saya adalah apabila melihat orang yang saya sayang mengecap bahagia. Waktu pandemik sekarang, saya mencuba sedaya upaya menjadi yang terbaik kepada orang tua, adik-beradik dan anak-anak saudara.
“Disebabkan Covid-19, hidup sekarang sudah tidak macam dahulu. Tapi apa yang boleh kita lakukan? Walau macam mana sekalipun, hidup perlu diteruskan.
“Perhatian dan kasih sayang tetap akan diberikan walaupun dibatasi jarak.
“Memang tersangat rindu untuk hidup normal seperti sebelum mengenal Covid-19 tetapi saya percaya apa yang berlaku sekarang, lebih membuatkan kita menghargai apa yang ada di depan mata kita. Hargailah mereka sebaik-baiknya,” kata Dayang.
Perbualan rawak tentang kehidupan yang kian diduga dek permasalahan virus mengalirkan semula topik yang tertulis pada perenggan awal.
Dayang kini muncul dengan single terbaharu berjudul Sayang Aku Tanya Apa Khabar, satu karya bernuansa ‘mid-tempo’ berkolaboratif dengan penyanyi dan komposer muda berbakat besar, Zynakal.
Terbuka dengan sesiapa
Akui Dayang, dia bersetuju merakamkan duet tersebut bersama Zyn kerana terpikat dengan melodi dan lirik lagu yang disifatkan begitu menarik. Nilai itu sekali gus memperlihatkan keterbukaan penyanyi lagu Di Pintu Syurga itu bekerjasama dengan sesiapa sahaja.
“Lagu ini segar dari segi melodi yang ringkas, lirik bersahaja dan mempunyai kemampuan untuk berhubung dengan semua. Seperkara lagi, lagu duet ini memberi bukti bahawa saya ingin menghasilkan lebih banyak kolaborasi bersama artis lain.
“Lirik lagu ini sangat bersahaja macam percakapan seharian. Bagi saya lagu ini sangat ringkas dan ‘straight-forward’ tetapi memiliki jiwa yang sangat istimewa. Dalam masa sama, kena dengan kehidupan kita sekarang yang masih dibelenggu Covid-19,” katanya.
Dalam masa sama, Dayang menyifatkan Zyn antara penyanyi dan komposer muda yang perlu diberikan perhatian.
“Zyn seorang penyanyi dan komposer yang berbakat. Kalau dia diberi peluang dan bimbingan yang betul, insya-Allah dia boleh pergi jauh dalam industri muzik tanah air.
“Artis muda. baik penyanyi atau komposer, apa yang saya kagumi mengenai mereka adalah idea dan kreativiti dalam berkarya. Cara mereka bekerja terutamanya. Saya sendiri boleh belajar banyak perkara daripada mereka.
“Jadi, seronok sangat dapat bekerjasama dengan Zyn. Dia antara yang sangat senang dan mudah bekerjasama.
“Paling penting bagi saya, kalau nak berkolaborasi, kunci utamanya adalah senang untuk diajak berbincang,” tuturnya.
Dayang juga berharap kolaborasi pertama dengan Zyn menerusi lagu Sayang Aku Tanya Apa Khabar itu diterima baik seluruh peminat dan pencinta muzik tempatan.
“Saya berharap peminat akan suka dan boleh menerima lagu ini. Sebab bagi saya lirik lagu ini sangat sesuai dengan apa kita lalui sekarang. Ramai antara kita merindui seseorang sebab sudah lama tidak berjumpa,” katanya.
Terkejut Dayang setuju
Tidak mahu berhenti berkongsi rasa dengan peminat, Zyn, 23, atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli memaklumkan, karya yang dihasilkan tahun lalu itu bersesuaian dengan situasi dan keadaan semasa negara ketika ini.
Semua orang sedang menyimpan kerinduan untuk berjumpa orang tersayang dan keluarga tercinta yang terpaksa berjauhan.
“Sebenarnya lagu ini dihasilkan tahun lepas dan sudah ditayangkan menerusi saluran YouTube. Perancangan asal bukan untuk pasaran muzik semasa.
“Untuk suka-suka saja. Tapi, selepas beberapa bulan ada yang mencadangkan kenapa tidak lagu ini dikomersialkan.
“Kebetulan Def Jam Malaysia muncul dengan idea untuk menampilkan Dayang Nurfaizah sebagai rakan duet dalam lagu ini. Alhamdulillah, kali pertama Dayang mendengar lagu ini dia terus suka, jadi saya pun buat susunan semula lagu sejak awal tahun ini,” katanya.
Menurut Zyn, dia terkejut dan tidak menjangka Dayang menyatakan persetujuan dan menyukai karya berkenaan.
Zyn juga berasa beruntung apabila penyanyi yang baharu melancarkan album Belagu itu turut menyumbang idea bagi penambahbaikan dari segi susunan lagu.
“Ini sesuatu yang bagus kerana dalam berkolaborasi perlu ada persefahaman tentang muzik. Saya menganggap idea yang diberikan oleh Dayang menjadikan lagu ini lebih menarik.
“Secara peribadinya, ini satu penghormatan dan penghargaan dalam kerjaya saya. Dayang juga sangat merendah diri dan sudi bekerjasama dengan saya,” katanya.
Zyn berkata, persetujuan Dayang tentang duet tersebut satu perkara yang begitu ‘sempurna’ memandangkan pemenang Vokal Terbaik sebanyak tiga kali pada Anugerah Juara Lagu (AJL) itu memiliki listrik vokal tepat dengan lagu berkenaan.
“Lagu ini dirakam semula pada Mac lalu. Alhamdulillah, proses rakaman lancar. Tidak ada yang susah walaupun pertama kali bekerjasama dengan Dayang.
“Tambahan pula dia cepat dapat apa yang saya ingin sampaikan. Improvisasi yang dibuat Dayang pada lagu ini juga kena dan boleh diterima.
“Kami buat dua kali sesi rakaman. Malah ketika rakaman dibuat juga, kami tidak ambil masa yang lama. Saya puas hati dengan apa yang dipersembahkan. Malah Dayang bagi lebih lagi. Pendek kata, ton dan vokal Dayang kena dengan lagu ini,” katanya menggulung perbualan.