PETALING JAYA – Lebih 24 selepas ditidurkan demi melahirkan anak keempatnya, Ayash Affan menerusi kaedah pembedahan, penyanyi Siti Sarah masih belum sedarkan diri daripada koma.
Suaminya, Shuib atau nama lengkapnya, Shahmira Muhamad, 37, juga tidak berhenti menitipkan kata-kata semangat dan memanjatkan doa agar pelantun lagu Kesetiaan itu terus kuat berjuang melawan virus maut, Covid-19.
Tulisnya menerusi hantaran terbaharu dalam Instagram: “Sayang, saya tahu awak sudah buat yang terbaik. Awak dah lawan sampai anak kita dah selamat pun dilahirkan.
“Ayash Affan dah buka mata, kaki dan tendang-tendang dan tangan dah bergerak. Syukur Alhamdulillah dan sekarang awak penat dan sedang tidur.
“Tapi jangan tidur lama-lama eh sayang. Saya, anak-anak dan famili semua rindukan awak. Semua menunggu awak di rumah sayang,” tulis Shuib.
Masih tidak putus harapan agar isteri tersayang bangkit, Shuib terus mengharapkan magis dan doa yang baik-baik daripada orang ramai.
“Jangan tidur lama sangat tau. Kuatkan semangat dan buka mata okey. Love you, sayang. Mohon semua terus mendoakan Sarah, ya,” ujar juara rancangan realiti, Raja Lawak musim ketiga itu lagi.
Menurut Shuib menerusi muat naik Instagram hari ini, keadaan isterinya menunjukkan perkembangan yang positif berdasarkan paras oksigen dalam badan yang semakin meningkat namun masih koma.
Semalam sekitar pukul 4 petang, Siti Sarah selamat melahirkan bayi lelaki dalam keadaan koma menerusi pembedahan bagi mengelakkan risiko akibat keadaannya yang agak kritikal.
Biarpun dilahirkan pra matang dan perlu menggunakan bantuan pernafasan, bayi yang akan dinamakan sebagai Ayash Affan atas pilihan Sarah itu berada dalam keadaan stabil.
Siti Sarah sebelum ini dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur pada Selasa lalu berikutan tahap oksigen dalam badannya yang semakin merosot.
Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas menjalani saringan apabila pembantu rumah mereka disahkan positif virus maut tersebut.
Pasangan itu bernikah pada 2011dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6. – K! ONLINE