fbpx

Agong perkenan sampaikan titah sempena Ma’al Hijrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al- Sultan Abdullah.

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan untuk menyampaikan titah perutusan khas secara hibrid sempena Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1443H/2021M di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya, Isnin depan.

Majlis itu akan turut dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, penganjuran majlis itu dilihat penting dalam suasana negara sedang menghadapi pandemik Covid-19 yang bertujuan mengajak masyarakat sama-sama berdoa memohon perlindungan daripada bahaya wabak.

Beliau berkata, majlis yang diadakan secara sederhana bertemakan ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ itu juga untuk mengajak masyarakat supaya sentiasa bersabar dan berpegang teguh pada agama walau dalam apa jua keadaan.

“Tema sambutan ini adalah signifikan kepada ummah di negara ini. Ia bagaikan suatu motivasi kepada ummah untuk meletakkan nilai ‘rabbani’ iaitu menjadikan Allah segala-galanya dalam mendepani apa jua keadaan dan situasi getir dan sukar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, Majlis Penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan akan juga diadakan seperti biasa dan akan disempurnakan Perdana Menteri kepada seorang tokoh dalam negara dan seorang tokoh dari luar negara yang banyak jasa dan sumbangan kepada ummah.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama rakan strategik akan menganjurkan program Semarak Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan 1443H/2021M dalam norma baharu bermula pada 9 sehingga 17 Ogos ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI