SHAH ALAM – Keseronokan 15 individu termasuk pelajar dipercayai berpesta dadah hampir lima jam berakhir apabila dicekup dalam kejadian di sebuah kondominium mewah di Seksyen 7 di sini, awal pagi tadi.
Dalam serbuan pukul 1.30 pagi, kesemua suspek berusia 16 hingga 20 tahun itu didapati sedang duduk dan terdapat di kalangan mereka dalam keadaan khayal disyaki pengaruh dadah.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan awal mendapati unit kondominium itu disewa salah seorang suspek dengan kadar RM200 semalam.
Katanya, kesemua suspek yang saling mengenali satu sama lain dan tinggal di daerah Klang itu berhubung menggunakan aplikasi We Chat.
“Hasil pemeriksaan, kesemua suspek terdiri 11 lelaki dan empat perempuan. Malah, empat daripadanya juga merupakan pelajar sekolah menengah di Klang.
“Kita turut menahan penganjur di lokasi kejadian yang bekerja sebagai penghantar makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, berdasarkan pemeriksaan juga merampas sepeket berisi bahan tumbuhan disyaki ganja seberat 2.3gram dan hasil ujian air kencing mendapati lapan daripada mereka positif dadah masing-masing jenis tetrahydrocannabinol (THC), Amphetamine, Methamphetamine dan Benzo.- K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929