fbpx

Warkah ‘reunion’ 20 tahun Fareast

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN kini hanya mempunyai tiga orang anggota tetap, tetapi lagu Warkah Munsyid berjaya menghimpun semua anggota terdahulu Fareast.

NAMA kumpulan nasyid Fareast tidak perlu diperkenalkan lagi. Kumpulan yang ditubuhkan sejak 2001 itu juga pernah menghasilkan tujuh album yang kebanyakan karya mereka mendapat tempat di hati pencinta irama nasyid.

Malah, kemunculan Fareast yang ketika itu dianggotai empat anak muda yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis pernah menjadi kegilaan dan mencipta populariti tersendiri.

Sepanjang 20 tahun berada dalam arena nasyid tanah air, Fareast juga sudah melakar pelbagai kejayaan antaranya menerusi Juara Anugerah Nasyid IKIM menerusi lagu Syahadah, Vokal Terbaik Anugerah Nasyid IKIM (Gugur Di Setiamu), finalis Anugerah ERA, finalis Album Nasyid Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) dan banyak lagi.

Sempena meraikan sambutan ulang tahun ke 20, Fareast kini muncul dengan single Warkah Munsyid yang turut menggabungkan beberapa anggota lama dengan menggelarkan kemunculan mereka menerusi projek ini sebagai Fareastimewa.

Mereka terdiri daripada Nabil Ahmad, Shairiman Badzri (Cikgu Man), Ahmad Fadzli Bakar (Fadzli), Naemul Helmi Mohd Napiah (Naim Mirwana) dan Raja Muhammad Suhaimi Raja Chulan (Maliq Suhaimi).

Mewakili Fareast dan Fareastimewa, Nabil Ahmad atau dikenali sebagai Ustaz Nabil berkata, Warkah Munsyid sangat istimewa, selain projek ‘reunion’ bersama anggota lama Fareast dalam meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan itu.

“Lagu ini diterbitkan sepenuhnya oleh Fadzli Fareast dan Fareast. Lagu dirakam pada Disember tahun lalu dan video muzik pada April lalu,” katanya.

Perjalanan dakwah

Berkongsi lanjut, Warkah Munsyid juga bercerita tentang perjalanan mereka berdakwah menerusi lagu sepanjang 20 tahun lalu.

“Tempoh itu bukan pendek. Sebab itu dalam beberapa rangkap lagu menggambarkan perjalanan ini yang mana pelbagai kerenah dan perangai yang kami temui sepanjang menjalankan dakwah ini. Sama ada dari sudut kami menyampaikan dan orang terima mesej. Jadi, banyak yang kami belajar.

“Kami mahu berkongsi nasihat dan pandangan terutama buat sahabat dan adik-adik yang baru nak mencipta nama. Apa yang penting dalam dakwah ini adalah ukhwah islamiah.

“Sebab itu dalam video muzik ia menceritakan perihal kami yang bertitik tolak bermulanya Fareast di UiTM Arau, Perlis. Sebab itu rakaman video muzik ini sepenuhnya di sana. Kami mahu menggamit kenangan 20 tahun lalu bermulanya nama Fareast di UiTM Arau. Kemudian barulah berhijrah ke Kuala Lumpur dan sebagainya. Dalam video muzik itu kami berkumpul sekali, dan itulah kami bergabung semula membabitkan anggota lama dan baharu,” katanya.

Menurut Nabil, Warkah Munsyid juga yang mempertemukan semula semua anggota Fareast, lama dan baharu.

“Kumpulan Fareast bersilih ganti, album pertama ada empat orang ahli, album kedua pun empat orang, album ketiga berlima, album keempat dan kelima kembali berempat.

“Kalau ikutkan sekarang, Fareast tinggal bertiga. Sebab ada yang bergerak solo, sertai kumpulan lain, menjadi DJ radio, cikgu dan banyak lagi.

“Jadi, kami ada keluarga besar, sebab itu namakan Fareastimewa, khas untuk projek ini. Memang kalau ada jemputan kami akan bawa kawan-kawan yang pernah menganggotai Fareast dan namakan dengan Fareastimewa atau Fareast & Friends.

Fareast kini bertiga

“Sebenarnya idea penggabungan Fareast ini bermula daripada pihak Darussyifa’.

“Mereka minta lagu tribute untuk pengasas Darussyifa’, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din. Ketika itu kami dapat idea untuk bawa semula vokalis Fareast terdahulu.

“Projek ini memberi peluang kepada kami untuk saling bekerjasama,” katanya.

Pembabitan beberapa anggota lama Fareast dalam projek lagu Warkah Munsyid itu diharap dapat meneruskan legasi nasyid mereka sekali gus berdakwah kepada peminat.

“Besar harapan untuk terus berada dalam bidang ini. Atas sokongan dan dukungan yang tak pernah berhenti daripada kawan-kawan dari dulu sampai sekarang. Bahkan ada otai-otai nasyid yang sentiasa membantu. Generasi demi generasi sentiasa memberikan impak positif seni suara.

“Selama 20 tahun, kadang-kadang kami fikir ini yang terakhir. Tetapi berbalik soal dakwah, Nabi Muhammad SAW sehingga wafat pun tetap meneruskan dakwah. Jadi, ini bukan warkah terakhir kami, tapi ini adalah warkah untuk diri sendiri dan semua munsyid.

“Kami harap lagu ini diterima semua lapisan. Konsep bukan terlalu nasyid walaupun mesej untuk nasyid, tapi masih boleh dikategorikan sebagai irama kontemporari dan mesej umum. Dalam hidup ini pelbagai kerenah manusia yang kita kena sabar dan kuat. Apa yang penting terus belajar daripada pengalaman kehidupan bagi mematangkan kita,” kata Nabil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI