PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kira-kira 80 peratus kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID) yang dilaporkan di seluruh negara dikesan tidak pernah menjalani ujian saringan Covid-19.
Perkara itu didedahkan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr. Chong Chee Kheong dalam sidang akhbar khas KKM secara maya di sini hari ini.
Chee Kheong berkata, sebahagian besar kes terbabit adalah membabitkan warga asing.
“Kami dapati kira-kira 80 peratus kes BID membabitkan mereka yang tidak pernah mendapat akses saringan Covid-19 atau tidak pernah tampil untuk diuji.
“Manakala, baki 20 peratus kes lagi BID membabitkan mereka yang disahkan positif Covid-19 tetapi lewat tiba di hospital dan gagal hadir ke hospital.
“Ketika ini, negara melaporkan kira-kira 80 hingga 100 kes BID setiap minggu,” katanya.
Justeru, katanya, amat penting bagi setiap individu untuk melengkapkan aktiviti penilaian kesihatan di aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pemantauan.
Dalam pada itu, Chee Kheong berkata, mereka yang mempunyai gejala ringan atau tidak perlu datang ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) hanya perlu melakukan kuarantin di kediaman masing-masing. -K! ONLINE