fbpx

Sindiket curi kereta lama tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Basri (kiri) menunjukkan tujuh buah kenderaan tempatan model lama yang dirampas.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sebuah sindiket mencuri kenderaan model lama yang aktif di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, sindiket tersebut ditumpaskan susulan laporan polis yang diterima berkenaan kes curi kenderaan di Jalan Kuchai Maju 1, Kuala Lumpur, di sini pada 30 Julai lalu.

“Bertindak atas maklumat, pada 2 hingga 4 Ogos, lebih kurang pukul 5.30 petang sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields telah menahan empat orang lelaki tempatan berusia 38 hingga 49 tahun.

“Polis juga berjaya merampas pakaian serta peralatan yang digunakan bagi melakukan kegiatan curi kenderaan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Brickfields di sini hari ini.

Selain itu katanya, polis juga merampas telefon bimbit pelbagai jenama, pelbagai komponen kenderaan seperti meter kereta dan tujuh buah kenderaan tempatan yang sebelum ini dilaporkan hilang di empat daerah iaitu Brickfields, Petaling Jaya, Cheras dan Dang Wangi.

Dalam pada itu Basri berkata, kumpulan terbabit menyasarkan kenderaan tempatan model lama untuk tujuan mendapatkan alat ganti kenderaan yang mendapat permintaan tinggi di pasaran sebelum dijual kepada bengkel-bengkel kenderaan atau kenalan.

“Kumpulan ini mula aktif sejak Mac 2021 dan mereka melakukan jenayah ini dengan peralatan yang diubah suai sendiri seperti batang kunci motokar yang telah diasah atau diukir serta batang besi yang diubah suai berbentuk kunci kereta.

“Mereka juga menyasarkan kereta tempatan model lama kerana alat ganti kenderaan tersebut mendapat permintaan yang tinggi serta tiada lagi pengeluaran baru dari kilang,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI