MANCHESTER – Juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City akhirnya berjaya melunaskan impian mereka untuk membawa masuk pemain tengah sensasi, Aston Villa, Jack Grealish menerusi yuran perpindahan bernilai £100 juta (RM588.2 juta).
Pemain antarabangsa England itu dilaporkan bakal menandatangani kontrak selama lima tahun di Etihad dan menerima pendapatan £230,000 (RM1.3 juta) seminggu selepas urusan mengenai ujian perubatan selesai.
Bagaimanapun, kehadiran Grealish bersama skuad kendalian Pep Guardiola itu akan menyaksikan kesan domino berlaku dalam pasukan berkenaan apabila beberapa pemain City mungkin terpaksa meninggalkan kelab itu.
Antara yang disebut perlu segera meninggalkan Etihad kerana bakal dijadikan pilihan kedua selepas kehadiran Grealish adalah Bernardo Silva yang kini turut dikaitkan dengan beberapa kelab terutama dari Sepanyol.
Biarpun berjaya mempamerkan aksi terbaik sejak menyertai City dari AS Monaco sebelum ini, namun Guardiola mungkin terpaksa mengorbankan Silva dengan kehadiran Grealish terutama ketika kedua-dua mereka beraksi pada posisi yang sama iaitu sama ada di bahagian tengah atau sayap kiri.
Barcelona dan Atletico Madrid dilaporkan sedang memantau secara dekat perkembangan berkenaan apabila peluang mereka untuk mendapatkan playmaker berusia 26 tahun itu akan menjadi lebih cerah.
Pengendali Atletico, Diego Simeone dikatakan sangat berminat untuk mendapatkan Silva terutama ketika kelab itu juga berdepan kemungkinan kehilangan pemain tengahnya, Saul Niguez.
– AGENSI