KUALA LUMPUR – Seorang rider Lalamove koma setelah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) sekitar pukul 6 petang pada 25 Julai lalu.
Kakak mangsa, Reveyna Aileen berkata, adiknya itu, Brandon Shawalit, 27, telah menjalani pembedahan craniectomy pada Rabu lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan masih belum sedarkan diri sehingga hari ini.
“Dia dilanggar sebuah kenderaan dari belakang di hadapan Setiawalk ketika mahu menghantar makanan dan kereta tersebut tidak berhenti selepas melanggar adik saya.
“Saya merayu sekiranya ada sesiapa yang menjadi saksi atau ada rakaman papan pemuka (dashcam) semasa kejadian supaya menghubungi saya dengan segera,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Menurutnya, mereka sekeluarga bimbang dengan keadaan Brandon dan ternanti-nanti panggilan pihak HKL bagi memaklumkan keadaannya.
Ujarnya, Brandon melakukan kerja sebagai penghantar makanan secara sampingan bagi membantu meringankan beban kedua-dua orang tuanya.
“Bayangkan perasaan mak ayah dan keluarga kami setiap hari menunggu panggilan dari hospital mengenai perkembangan adik dan jawapannya masih belum sedarkan diri. Luluh hati kami.
“Dia seorang adik, anak, dan kawan yang baik malah ramai kawan menyayanginya. Saya mohon semua pihak mendoakan keselamatan dan kesembuhan baginya,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan insiden tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Syafiq Mohd. Nasir di talian 012-984 5477 atau mana-mana balai polis berhampiran. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929