PUTRAJAYA – Pusat Pemulihan Akhlak di Jalan Brewster, Batu Gajah, Daerah Kinta, Perak sekali lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad hingga 21 Ogos ini.
Pusat berkenaan yang dibuka sejak 1902 sebagai Kinta Prison pernah dilaksanakan PKPD dari 14 Februari dan disambung hingga 13 Mac lalu dengan merekodkan 457 kes Covid-19.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, turut diwartakan PKPD serentak di negeri itu ialah enam lokaliti di pulau peranginan, Pangkor dalam Daerah Manjung susulan Kluster Kampung Tengah dengan 21 kes.
“Ia membabitkan Taman Seri Pangkor, Taman Desa Pangkor, Rumah Murah Pangkor, Flat Taman Desa Pangkor, Ladang Kong Heap Lee dan juga punca kluster itu di Kampung Tengah selain Kampung Perlok dan Kampung Perlok Baru, dalam Mukim Sungai, Daerah Batang Padang serta tapak pembinaan Horizon, Daerah Kinta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, di Pahang, tiga lokaliti dalam Daerah Temerloh dilaksanakan PKPD iaitu Taman Sri Layang, Taman Tualang Indah dan Taman Rimba di Mentakab serta Kuala Tahan, Daerah Jerantut, manakala di Sabah, University Condominium Apartment 2 dan Rumah Murah Kepayan, Daerah Kota Kinabalu serta Kampung Lohan 1, Daerah Ranau.
Namun kata Hishammuddin, satu lokaliti di negeri itu, Bandar Sinsuran, Kota Kinabalu yang dikenakan PKPD sejak 25 Julai lalu disambung hingga 21 Ogos, begitu juga kuarters pekerja ladang Pelitanah 1 dan 2 milik Amalan Pelita Pasai Sdn. Bhd. di Daerah Batang Oya-Dalat, Bahagian Mukah di Sarawak yang dilanjutkan hingga 14 Ogos.
Bagaimanapun, 11 lokaliti yang dikenakan PKPD sejak 14 hari lalu akan tamat serentak esok antaranya Taman Hock Ann di Jalan Klang Lama, selebihnya di Sabah dengan lima lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Taman Sepanggar, Kampung Sepakat Jaya, Kampung Rampayan, Kampung Lokub serta Blok D dan E, Apartment Angkasa.
“Juga Taman Sabana Fasa 1, Daerah Keningau; Kampung Kolam, Daerah Kudat; Kampung Nagapas, Daerah Papar; serta Kampung Berhala dan Kampung Melayu Bumiputera, Daerah Sandakan,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929