SUNGAI PETANI – Pesakit Covid-19 tahap empat dan lima akan dihantar ke Unit Rawatan Rapi Medan (Field ICU) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang sekiranya tiga hospital utama di negeri ini tidak lagi dapat menampung peningkatan jumlah pesakit kategori tersebut.
Tiga hospital utama yang mempunyai ICU bagi pesakit Covid-19 ialah Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini dan Hospital Kulim dekat sini.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pihak ATM bahawa wad hospital medan itu bersedia untuk menerima pesakit Covid-19 tahap empat dan lima dari negeri ini.
Katanya, pemindahan pesakit itu mungkin terpaksa dilakukan memandangkan situasi katil di ICU serta wad-wad pesakit Covid-19 di tiga hospital utama tersebut hampir penuh dengan kapasiti lebih 90 peratus digunakan.
“Sekiranya katil penuh bagi menampung pesakit bagi dua kategori itu, pihak hospital akan uruskan penggunaan hospital medan di Kepala Batas,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Amanjaya Sports Arena di sini hari ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929