PERHIMPUNAN yang disertai ratusan peserta berpakaian serba hitam di kawasan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada 31 Julai lalu menimbulkan banyak persepsi berbeza.
Difahamkan, kumpulan itu hadir bagi mendesak seluruh menteri Kabinet meletak jawatan selain menunjukkan ketidakpuasan terhadap kerajaan.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani telah beberapa kali memberi amaran kepada semua pihak agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar SOP.
“Sikap penganjur dan peserta yang berdegil untuk mengadakan perhimpunan walaupun telah diberikan nasihat merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Acryl Sani menegaskan, pemantauan polis ketika perhimpunan itu telah mengesan tindakan penganjur dan peserta yang secara jelas melanggar SOP.
“Penganjur dan peserta juga melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 yang sedang berkuat kuasa.
“Polis telah mulakan siasatan ke atas penganjur dan peserta perhimpunan di bawah Peruntukan Akta 342 dan akta-akta lain yang relevan,” jelasnya.
Sudah terang lagi bersuluh, sebarang bentuk perhimpunan tidak dibenarkan ketika pandemik dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta 342 untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.
Isu politik tidak akan pernah habis selagi sesebuah negara itu wujud, namun perjuangan menentang wabak Covid-19 ini dilihat lebih penting kerana melibatkan nyawa di seluruh dunia, bukan sahaja di negara ini.
Setiap individu berbeza pendapat, namun alangkah lebih baik mengutamakan perkara yang lebih penting terlebih dahulu. Virus ini tidak mengenal pangkat dan darjat, sedangkan golongan ‘kayangan’ turut dijangkiti virus ini.
Andai kata, semasa menyertai perhimpunan, anda dijangkiti virus ini, siapakah akan dipersalahkan? orang sekeliling turut terdedah menjadi mangsa. Lebih membimbangkan jika melibatkan ahli keluarga kita sendiri.
Ruangan kubur semakin penuh, hospital semakin padat, petugas hadapan semakin keletihan dan individu yang bukan sependapat dengan anda turut kepenatan. Berapa ramai rakyat marhaen yang terpaksa menebalkan muka mengibarkan bendera putih akibat pandemik.
Majoriti rakyat negara ini ibarat telur di hujung tanduk. Mereka sudah buntu memikirkan masa hadapan yang seperti tiada sinar, emosi dan mental semakin tidak terkawal.
Bukan soal ketidakpuasan hati anda yang dipersoalkan, tetapi mengapa harus mendedahkan diri kepada virus Covid-19 dengan berkumpul beramai-ramai ketika negara sedang tenat dilanda wabak.
Mengapa tidak menggunakan sahaja media sosial atau alternatif lain selain berkumpul untuk meluahkan perasaan anda? Sedangkan Israel yang tidak berperikemanusian itu sendiri koyak dengan serangan tentera bawang Malaysia di media sosial.
Perjuangan dan pendapat anda merupakan hak anda, namun tepuk dada tanya selera, jangan sudah terhantuk, baru hendak tengadah. -K! ONLINE