PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui jangkitan Covid-19 dalam sektor ekonomi tidak boleh dielakkan namun, jumlah kes boleh dikurangkan sekiranya ia dapat dikesan lebih awal.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong berkata, beliau sentiasa mengingatkan pihak industri supaya melakukan pengesanan awal sekiranya wujud kes jangkitan dalam kalangan pekerja mereka.
Beliau berkata, ia penting bagi memastikan penularan kes dapat dikawal lebih awal sekali gus jumlah kes dapat dikurangkan.
“Kalau kes positif dapat dikesan lebih awal, jumlah jangkitan dapat dikurangkan dan jika kes lambat dikesan maka, jumlah kes positif mungkin meningkat.
“Justeru, syarikat dinasihatkan menyertai inisiatif Safe@Work diperkenalkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana ia menyediakan panduan persekitaran selamat sekali gus membantu mengelak jangkitan Covid-19 dalam industri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas KKM yang turut disertai Ketua Setiausaha KKM, Datuk Shafiq Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal).
Jelasnya, pihaknya sendiri pernah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak industri sebelum ini.
Katanya, beberapa cadangan penting turut dikongsi bersama pihak industri bagi mengawal jangkitan dan mengelak penularan kes di kawasan industri. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929