MUAR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesediaan beliau terhadap apa jua kemungkinan yang mungkin timbul berikutan keputusannya mengadakan usul undi percaya yang bakal dibentangkan dalam sidang Parlimen, September nanti.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, setakat ini dirinya yakin dengan bilangan majoriti sokongan oleh barisan Ahli Parlimen kepada beliau selain menegaskan bahawa kaedah itu merupakan jalan terbaik bagi mengelakkan kekeliruan pelbagai pihak.
“Saya yakin walaupun sehingga hari ini ada pengumuman dibuat oleh pihak tertentu kononnya tidak menyokong saya, mungkin depan begitu dan dibelakang kita tidak tahu. Ini masalah politik, sebab itu Yang di-Pertuan Agong pun perkenan.
“Untuk menyelesaikan perkara itu, kita bawa ke Parlimen dan saya sedia hadapi apa juga kemungkinan yang mana saya tidak takut ataupun bimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan makanan basah dan Bakul Prihatin Negara kepada penghulu-penghulu Mukim dan keluarga yang sedang kuarantin di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Raya, di sini hari ini.
Bagaimapun katanya, sebarang perubahan politik dan peralihan yang mungkin boleh berlaku perlulah diambil kira oleh semua anggota Parlimen berikutan ia dibimbangi memberikan kesan serta merencatkan proses pemulihan pandemik ketika ini.
“Harus difikirkan situasi dan keadaan semasa ini adakah negara boleh menghadapi masalah (kemelut politik) ini dengan apa-apa rombakan pertukaran yang boleh menjejaskan Pelan Pemulihan Negara dan langkah-langkah menangani Covid-19,” tambahnya.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencabar kerajaan untuk segera memanggil Sidang Khas Parlimen bagi membuktikan Muhyiddin masih mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929