KUANTAN – Kerana terlalu percayakan rakan, seorang pengurus syarikat keselamatan berusia 53 tahun mengalami kerugian RM20,000 selepas ditipu rakannya yang menawarkan tender pekerjaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada 15 Julai lalu apabila mangsa ditawarkan tender penjagaan keselamatan oleh rakannya yang berusia 38 tahun.
“Suspek memberitahu jika mangsa berminat, individu berpangkat datuk akan menghubunginya bagi menawarkan peluang tersebut.
“Pada pukul 11 pagi hari sama, mangsa menerima mesej daripada nombor telefon tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai wakil daripada sebuah syarikat dan bergelar datuk serta menawarkan pekerjaan dalam aspek keselamatan kepada mangsa di tapak pembinaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dua hari kemudian, mangsa menerima penyata bank Standard Charted berjumlah RM70,000 sebagai wang pendahuluan bagi kerja yang ditawarkan.
Susulan itu juga rakan mangsa meminjam wang daripadanya berjumlah RM20,000 dengan alasan ibunya terbabit kemalangan jalan raya dan menunjukkan gambar ibunya terlantar di hospital serta keadaan kereta selepas kemalangan.
Jelasnya, kerana yakin menerima wang pendahuluan untuk tawaran kerja sebanyak RM70,000, mangsa telah meminjamkan wangnya sebanyak RM20,000 kepada rakannya itu.
Mohd Wazir berkata, setelah tempoh masa yang dijanjikan, mangsa menghubungi rakannya bertanyakan tentang wang yang dipinjam, namun individu terbabit memberikan pelbagai alasan. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929